SPORTS
Salah kecewa tindakan penyokong Liverpool
Salah (gambar) mengakui perpisahan itu bakal menyentuh emosinya memandangkan Alexander-Arnold merupakan salah seorang sahabat karibnya di kelab. - Gambar fail
BINTANG Mesir, Mohamed Salah meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir penyokong Liverpool yang mengejek Trent Alexander-Arnold selepas mengumumkan bakal meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini.
Alexander-Arnold, yang dijangka menyertai gergasi Sepanyol Real Madrid selepas kontraknya tamat pada Jun ini, diejek sebahagian penyokong sendiri ketika dimasukkan sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua perlawanan menentang Arsenal yang berkesudahan seri 2-2 di Anfield, Ahad lalu.
Salah, yang bercakap dalam satu wawancara bersama Gary Neville menerusi Sky Sports pada Jumaat, berkata dia sedih melihat rakan sepasukannya itu diperlakukan sedemikian rupa.
“Saya terkejut kerana ini bukan cara penyokong Liverpool bertindak. Saya rasa mereka agak keterlaluan terhadapnya.
"Dia tidak layak diperlakukan begitu. Dia sepatutnya dilayan dengan cara paling baik kerana dia telah memberikan segala-galanya untuk kelab ini,” katanya.
Salah turut melalui detik sukar berkaitan kontrak musim ini sebelum akhirnya menandatangani lanjutan dua tahun bersama The Reds.
Penyerang itu turut menyeru agar penyokong memberikan penghormatan sewajarnya kepada Alexander-Arnold dalam dua aksi terakhirnya bersama Liverpool menentang Brighton pada Isnin dan Crystal Palace pada 25 Mei.
Alexander-Arnold yang membuat penampilan sulung bersama skuad utama pada 2016, telah membuat 353 penampilan dalam semua kejohanan dan menjaringkan 23 gol untuk kelab itu.
Pemain berusia 26 tahun itu turut membantu Liverpool memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala FA dan Piala Liga.
Salah turut mengakui perpisahan itu bakal menyentuh emosinya memandangkan Alexander-Arnold merupakan salah seorang sahabat karibnya di kelab.
“Saya beritahu dia semalam, jangan pandang mata saya semasa ucapan selamat tinggal nanti. Saya sangat sayangkan dia dan dia layak diraikan dengan penuh penghormatan.
“Dia telah banyak menyumbang untuk bandar ini dan kelab ini. Mungkin dia antara pemain terbaik dalam sejarah kelab. Dia berikan segalanya.
“Dia perlukan cabaran baharu. Dia pernah beritahu saya tentang perkara ini. Itu keputusannya sendiri. Pada usia 25, 26 tahun dia dah menang semua kejuaraan besar dua atau tiga kali," katanya. - Sinar Harian