PUTRAJAYA: Sarawak hari ini secara rasmi dipilih sebagai tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 sekali gus bakal menganjurkan temasya sukan terbesar negara itu buat kali ketiga selepas edisi 1990 dan 2016.

Pemilihan Sarawak itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Hannah berkata pemilihan Sarawak adalah berpandukan kepada persetujuan ahli untuk memperkenalkan sistem penggiliran tuan rumah secara berselang-seli setiap dua tahun antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri.

Menurutnya Sukma 2026 akan dianjurkan oleh MSN manakala Kelantan bersetuju untuk menerima tanggungjawab selaku tuan rumah edisi 2028 untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang.

"Rasional sistem penggiliran tuan rumah bertujuan untuk mengurangkan beban kerajaan Persekutuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada negeri-negeri yang meliputi peruntukan pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan, kos penganjuran dan pembiayaan program persediaan atlet-atlet di peringkat negeri," katanya.

Hannah berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata jawatankuasa tertinggi itu juga meluluskan cadangan supaya 28 jenis sukan wajib dipertandingkan bermula daripada edisi 2024.

Antara senarai 28 sukan wajib itu ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek dan lebuh raya), gimnastik (artistik dan gimrama), golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran dan hoki.

Melengkapi senarai ialah judo, ping pong, taekwondo, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin bowling, wushu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis.

Pada masa sama, Hannah berkata selaku tuan rumah edisi 2024, Sarawak diberi pilihan memasukkan beberapa sukan tambahan dan telah memutuskan untuk menyenaraikan empat jenis sukan iaitu tinju, muay thai, petanque dan sukan elektronik, namun ia tertakluk kepada jumlah minimum penyertaan enam negeri seperti terkandung dalam Peraturan Am Sukan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata jawatankuasa juga bersetuju untuk MSN mengadakan beberapa sesi libat urus bersama persatuan sukan kebangsaan dan pemegang taruh berkaitan bagi mengkaji kemungkinan membuka penyertaan kepada lebih banyak sukan untuk dipertandingkan pada edisi temasya Sukma pada masa hadapan.

-- BERNAMA