SUKAN

Saya akan tinggalkan kelab satu hari nanti - Pengerusi J/K Teknikal Selangor mohon maaf

Astro Arena 09/11/2025 | 00:00 MYT
SHAHRIL: Bagi pihak kelab, saya dengan rendah diri ingin memohon maaf terhadap prestasi kelab ini, tetapi ia bukan akan berakhir di sini, kita masih ada ruang untuk memperbaiki pasukan. - Foto Astro ARENA
PENGERUSI Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar, tampil memohon maaf kepada seluruh penyokong Gergasi Merah susulan prestasi goyah pasukan itu, terutama selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Shahril Mokhtar memohon maaf kepada penyokong Selangor Gergasi Merah susulan prestasi buruk pasukan itu dalam ACL2.
  • Pengurusan pasukan tidak menolak tindakan drastik untuk pulihkan reputasi Selangor dalam bola sepak Malaysia.
  • Shahril menekankan keputusan kelab dibuat bersama dan berjanji untuk terus berusaha memperbaiki pasukan walaupun akan meninggalkannya suatu hari nanti.


Ujarnya, pihak pengurusan pasukan itu tidak akan berpeluk tubuh dan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan drastik demi memastikan Selangor kembali sebagai pasukan yang disegani dalam kancah bola sepak Malaysia.

Jelasnya, semua pihak, termasuk dirinya, perlu bertanggungjawab atas persembahan semasa skuad kendalian Christophe Gamel itu, yang menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong.

Dalam masa sama, Shahril turut menafikan dakwaan bahawa segala keputusan kelab itu adalah di bawah kuasa mutlaknya, di mana ia sebenarnya dicapai menerusi kata sepakat semua ahli yang membarisi Juawatankuasa Teknikal Selangor.

"Segala keputusan yang berlaku dalam kelab adalah keputusan bersama," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Saya hanyalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor dan di dalam jawatankuasa itu ada nama-nama lain yang terkenal dalam dunia bola sepak.

"Ingin juga saya tekankan di sini, sekiranya kelab mahu mengambil atau melepaskan pemain, kesemua ahli jawatankuasa ini perlu bersetuju, ia bukan dengan persetujuan majoriti sahaja. Jatuh bangun kelab ini, semua perlu bertanggungjawab.

"Pada masa sama, bagi pihak kelab, saya dengan rendah diri ingin memohon maaf terhadap prestasi kelab ini.

"Tetapi ia bukan akan berakhir di sini, kita masih ada ruang untuk memperbaiki pasukan."

Mengulas lanjut, Shahril menambah: "Saya akan meninggalkan kelab ini satu hari nanti. Saya di Selangor FC bukannya bergaji, sudah tujuh-lapan tahun.

"Saya buat semua ini atas dasar minat dan rasa sayangkan pasukan Selangor.

"Beri saya peluang, saya seorang profesional, saya dari bidang korporat.

"Kelab ini bukan tempat saya cari rezeki atau saya cari makan, di sinilah saya luahkan rasa cinta saya.

"Jadi, belum sampai masanya, beri ruang untuk kita perbaiki apa yang perlu diperbaiki dan sampai masa dan ketikanya, saya akan meninggalkan kelab ini suatu hari nanti."





#Selangor FC #ACL2 #Shahril Mokhtar #mohon maaf