SUKAN

'Saya beri enam markah untuk persembahan saya' - Welson

Astro Arena 23/08/2018 | 10:09 MYT
Welson antara tumpuan buat skuad renang negara dalam temasya kali ini. - Gambar fail
“MARKAH enam daripada 10 untuk persembahan saya," demikian rumusan perenang negara, Welson Sim, selepas cabarannya dalam Sukan Asia 2018 di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, Jakarta, berakhir dengan acara 100 meter gaya bebas, hari ini.

Welson antara tumpuan buat skuad renang negara dalam temasya kali ini, apatah lagi dengan statusnya sebagai Olimpian, di samping mencari rentak untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, Welson gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik selepas mencatat masa 50.34 saat, kurang 1.04 saat berbanding pelumba kelapan terbaik.

Dia sebelum ini cemerlang dengan mara ke final 200m gaya bebas tetapi mengakui turut sedikit hampa apabila gagal berada dalam kelompok lapan terbaik untuk acara utamanya, 400m gaya bebas.

Begitupun, dia tetap boleh berbangga dengan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan 800m gaya bebas di samping 4x100m gaya bebas bersama Keith Kim, Foong Wei Tze dan Chan Jie.

"Catatan masa terbaik tahun ini, 1 minit 47.99 saat, dalam 200m gaya bebas untuk mengakhiri saingan final di tempat keenam, saya gembira dengan keputusan itu.

"Dalam acara 800m gaya bebas pula, ia pencapaian yang hebat dan sesuatu yang baru buat saya tetapi agak malang saya terlepas final 400m gaya bebas.

"Kami juga melaksanakan tugas dengan baik dalam 4x100m malam tadi, jadi saya bagi enam markah daripada 10 untuk diri sendiri," kata Welson.

Sementara itu, seorang lagi perenang negara, Keith, mengidam prestasi terbaik untuk cuba memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 4x100m rampaian lelaki.

Ketiadaan Welson dalam acara berkenaan menyaksikan Keith akan digandingkan bersama Wei Tze, Chan Jie dan Tern Jian Han.

Keith juga tidak dapat menempatkan diri ke final 100m gaya bebas lelaki hari ini selepas mencatat masa 50.73 saat dan menduduki tempat ke-20 keseluruhan.

"Saya berpuas hati dengan catatan masa 50.73s dalam saingan 100m gaya bebas yang dibuat.

"Selepas ini, kami akan cuba memecahkan rekod 4x100m rampaian lelaki pula," katanya.
#atlet negara #Jakarta-Palembang #renang #Sukan Asia #Welson Sim