LIONEL Messi sudah berjaya menjulang pelbagai trofi sepanjang kariernya dan mengakui sudah rasa cukup dengan pencapaian yang diraihnya itu.

Messi mencapai puncak impiannya pada tahun 2022 apabila berjaya menjuarai Piala Dunia bersama Argentina.

Peringkat kelab pula, Messi sudah menakluk Sepanyol bersama Barcelona selain turut beberapa kali menjuarai Liga Juara-Juara.

Di Perancis, Messi turut berjaya menjuarai Ligue 1 bersama Paris Saint Germain dan ketika menyarung jersi Inter Miami, dia telah meraih Piala Liga.

Sebanyak 44 trofi telah dimenangi Messi di kelab dan pasukan antarabangsa tidak termasuk deretan anugerah peribadinya termasuk lapan trofi Ballon d'Or.

"Saya tidak ada impian spesifik lagi kerana saya telah menang semuanya. Saya tidak mahu meminta lebih banyak lagi.

"Saya kini menikmati apa yang tuhan telah berikan," katanya.

Namun, ia bukan bererti jiwa kompetitif Lionel Messi akan menurun sebaliknya akan terus beraksi dengan Inter Miami kerana kontraknya bersama pasukan itu sehingga musim panas 2025.

"Saya tahu kemampuan diri saya, saya tahu bila saya akan berhenti. Sekarang, saya masih mampu bermain dan bersaing. Saya akan membantu semaksimum mungkin kawan-kawan di atas padang," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian