SUKAN

'Saya terlupa sudah hampir 50 tahun' - KJ

Sinar Harian 14/07/2025 | 00:10 MYT
Khairy Jamaluddin (gambar kecil) menyertai Score Marathon di Putrajaya pada Ahad. - Foto Score Marathon/Sinar Harian
"SAYA terlupa sudah hampir 50 tahun (usia).”

Demikian luah bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas mengakhiri larian 21 kilometer (km) Score Marathon AIA Vitality di Putrajaya semalam.

Malah figura berusia 49 tahun itu turut berkongsi bahawa sasaran awalnya untuk menamatkan acara tersebut di bawah dua jam 10 minit, namun akur dengan cabaran fizikal dan kekangan pemulihan.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran, hanya berlari sahaja,” katanya ketika ditemui media sejurus tamat saingan.

Acara larian tahunan itu berjaya menarik penyertaan luar biasa melebihi 33,000 peserta, sekali gus mencatat rekod sebagai antara maraton terbesar di Malaysia.

Khairy juga mengakui bahawa mungkin terlalu memaksa diri kerana menyertai beberapa acara besar sebelum ini termasuk Powerman dan Hyrox yang menyebabkan beliau tidak cukup masa untuk proses pemulihan.

“Buat Powerman, kemudian Hyrox dan hari ini (Ahad) 'half marathon' secara berturut-turut, memang tidak cukup masa untuk proses pemulihan. Jadi memang saya tahu awal-awal PB (personal best) memang sukar dicapai,” katanya.

Malah beliau yang terkenal dengan julukan KJ menyifatkan laluan kali ini agak mencabar, biarpun berlangsung di Putrajaya yang lazimnya dianggap kawasan rata.

“Laluan kali ini lebih mencabar daripada biasa. Walaupun kita berlari di Putrajaya, laluan yang dipilih agak ‘rolling’ dan berbukit. Jadi memang bukan larian mudah,” katanya.

Khairy pada masa turut memuji penganjuran Score Marathon yang sudah berkembang ke tahap antarabangsa dan mempunyai piawaian global, malah menyifatkannya sebagai antara acara larian terbaik di Malaysia.

“Score Marathon bermula semasa saya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Hari ini kita dapat lihat betapa pesatnya perkembangan acara ini dengan lebih 33,000 penyertaan. Ini bukti ia antara maraton terbaik dari segi penganjuran,” katanya yang menerajui KBS selama lima tahun bermula 2013 hingga 2018. - Sinar Harian




#Khairy Jamaluddin #Score Marathon #Kementerian Belia dan Sukan #larian