SUKAN

Sekatan perpindahan FIFA bersifat teknikal, bukan tidak mampu bayar pemain - Sabah FC

Bernama 26/09/2025 | 15:36 MYT
Sabah FC memaklumkan bahawa isu berkenaan juga tidak melibatkan ketidakmampuan atau keengganan pihak pengurusan untuk membuat bayaran kepada pemain terlibat.
KOTA KINABALU: Sabah FC hari ini menjelaskan bahawa sekatan perpindahan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada kelab itu baru-baru ini, bersifat teknikal dan telah diselesaikan sepenuhnya.

Sabah FC dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan bahawa isu berkenaan juga tidak melibatkan ketidakmampuan atau keengganan pihak pengurusan untuk membuat bayaran kepada pemain terlibat.

Sebaliknya kelab itu memaklumkan bahawa perkara itu sebahagian daripada proses akauntabiliti dan ketelusan yang diamalkan, terutamanya dalam hal yang melibatkan pengurusan kewangan.

"Isu ini melibatkan seorang bekas pemain Sabah FC yang telah menamatkan kontraknya bersama kelab. Walaupun semua bayaran gaji telah diselesaikan selepas kontrak tamat, pemain tersebut mengemukakan tuntutan tambahan.

"Hasil semakan mendapati jumlah yang dituntut sebenarnya telah dibayar ketika beliau masih bersama pasukan, namun berlaku isu teknikal dari segi kaedah dan rekod transaksi pembayaran," menurut kenyataan itu.

Kenyataan Sabah FC itu memaklumkan bahawa pemain berkenaan, kemudiannya membawa perkara tersebut kepada FIFA dan keputusan telah dikeluarkan oleh badan tersebut.

Menurut kenyataan itu, selepas menerima keputusan rasmi daripada FIFA, Sabah FC telah melaksanakan bayaran tambahan seperti yang ditetapkan dan dengan pelunasan tersebut, FIFA akan membatalkan larangan pendaftaran pemain yang dikenakan terhadap pasukan itu.

-- BERNAMA

#Sabah FC #FIFA #sekatan perpindahan #pemain Sabah FC