SUKAN
Sektor perseorangan perlu dipertingkat demi impian julang Piala Thomas - Rashid Sidek
Rashid dan Datuk Cheah Soon Kit pada majlis menandatangani MoU dan sidang media filem Sentuhan Wira di sebuah hotel pada Rabu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki perlu meningkatkan mutu permainan mereka bagi memperkukuh cabaran skuad negara ke Piala Thomas di Horsens, Denmark tahun depan.
Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek berkata Malaysia sudah mempunyai beregu lelaki yang mantap dan kini menguasai dua ranking teratas dunia menerusi gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
"Kita ada dua beregu lelaki yang bagus. Perseorangan pula kita ada Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao. Bagaimanapun penekanan perlu diberi kepada sektor perseorangan untuk tingkatkan lagi mutu permainan mereka.
"Kalau kita ada dua beregu dan dua pemain perseorangan yang lebih kurang setara, saya rasa pasukan akan stabil dan boleh menjulang Piala Thomas," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan pelancaran filem 'Sentuhan Wira' di sini pada Rabu.
'Sentuhan Wira' arahan Lenny Ooi, akan ditayangkan di pawagam tahun depan, merupakan filem yang menyingkap kembali detik bersejarah Malaysia menjulang Piala Thomas pada edisi 1992 selepas menundukkan musuh tradisi Indonesia 3-2.
Rashid yang merupakan sebahagian daripada skuad Piala Thomas 1992 berharap filem 'Sentuhan Wira' mampu mencetuskan inspirasi buat pemain negara agar kekal memiliki semangat juang yang tinggi ketika dalam gelanggang.
Filem terbitan Victory Pictures itu adalah cetusan idea Rashid dan legenda beregu negara Cheah Soon Kit yang berperanan sebagai penasihat filem, pembangunan skrip, penyelidikan teknikal perlawanan dan memastikan sejarah kejayaan Malaysia pada saingan Piala Thomas 1992 diangkat tepat serta menyentuh hati penonton.
Selain edisi 1992, Malaysia turut muncul juara pada edisi 1949, 1952, 1955 dan 1967.
Sementara itu, bekas pemenang gangsa Sukan Olimpik 1996 itu berkata tugas besar menanti bekas pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Isnin lepas.
Beliau berkata Iskandar Zulkarnain masih baharu dalam bidang kejurulatihan biarpun pernah berkhidmat sebagai jurulatih sepenuh masa skuad badminton Ireland pada 2022.
Kejayaan besar Iskandar di Ireland adalah membimbing pemain perseorangan lelaki negara berkenaan Nhat Nguyen layak beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
-- BERNAMA