SUKAN
Semangat juang kunci kejayaan TFC benam Kelantan TRW

Pemain TFC Diego Landis (tengah) meraikan kejayaan setelah menjaringkan gol pertama buat pasukannya semasa menentang pasukan Kelantan TRW pada saingan Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA NERUS: Semangat juang tinggi menjadi kunci kejayaan pasukan Terengganu FC (TFC) ketika mengalahkan Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini malam tadi.
Ketua Jurulatih Badrul Afzan Razali berkata beliau amat berpuas hati dengan tahap disiplin yang ditunjukkan pemain sehingga membolehkan Skuad Penyu mengutip tiga mata penuh di hadapan lebih 2,000 penyokong.
Beliau berkata kejayaan itu, menjadi suntikan semangat untuk TFC meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan akan datang.
"Saya patut beri pujian pada pemain kerana menunjukkan semangat juang tinggi dari awal hingga tamat perlawanan."Alhamdulillah kita dapat penuhi sasaran mengutip tiga mata berharga untuk kekal di tangga ketiga liga (Liga Super). Saya lihat jentera serangan juga banyak berubah malam ini, berjaya sudahkan empat gol untuk kita atasi Kelantan," katanya selepas perlawanan aksi Liga Super menentang Kelantan TRW malam tadi.
Sementara itu pengendali Kelantan TRW E. Elavarasan mengakui kualiti pemain antara faktor kekalahan pasukannya malam tadi.
Beliau berkata TFC memiliki tonggak pemain import yang lebih berkualiti, selain barisan tempatan yang sudah serasi di atas padang.
"Saya akui kita tewas kepada pasukan yang lebih baik. TFC punya barisan pemain yang lebih berkualiti dari bahagian tengah dan serangan yang baik.
"Kesilapan pemain ialah terlalu memberi ruang kepada pasukan lawan pada separuh masa pertama sehingga membolehkan mereka menjaringkan tiga gol...susah untuk kita buat lawan semula," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami