Seorang senator di Amerika Syarikat menggesa FIFA supaya membatalkan hak penganjuran Piala Dunia 2022 kepada Qatar kerana negara itu tidak mempunyai rekod tenaga kerja yang baik.

Senator Bob Casey dari Demokrat mahu FIFA memindahkan hak menjadi tuan rumah kejohanan bolasepak berprestij itu kepada Amerika Syarikat.

Casey membuat gesaan itu dalam sepucuk surat kepada Presiden FIFA, Sepp Blatter. Dalam surat itu, beliau antara lain menyentuh tentang masalah rasuah serta pencabulan ke atas hak buruh terutamanya buruh warga asing.

"Pekerja lazimnya tidak melengkapkan prosedur undang-undang untuk mendapatkan permit kerja. Ini menyebabkan pekerja terlibat berdepan risiko ditangkap dan dihantar pulang pada bila-bila masa," tulis Casey dalam surat itu seperti dipetik laman web berita, Politico.com.

Beliau turut menarik perhatian bahawa 94 peratus tenaga kerja di Qatar merupakan warga asing.

Amerika Syarikat dan Qatar merupakan dua calon akhir dalam bidaan untuk jadi tuan rumah Piala Dunia 2022. Dalam pusingan akhir undian pada Disember 2010, Qatar mengatasi Amerika Syarikat 14-8.

Dalam suratnya kepada Blatter, Casey mengingatkan bahawa Amerika Syarikat mempunyai 50 bandaraya yang sedia menjadi hos Piala Dunia 2022. Malah beliau mengingatkan bagaimana pegawai FIFA sendiri mengakui penganjuran di Qatar boleh jadi "risiko tinggi". Blatter sendiri baru-baru ini mengakui pemilihan Qatar adalah "satu kesilapan".

FIFA enggan mengulas surat senator berkenaan. -- Agensi