[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
SPORTS

Sepak takraw mampu tarik lebih banyak penaja - Hannah Yeoh

Astro Arena 20/05/2025 | 01:30 MYT
Hannah Yeoh turut turun padang hadir memberikan sokongan kepada skuad sepak takraw negara.
PENCAPAIAN membanggakan skuad sepak takraw negara dalam kempen Piala Asia ASTAF minggu lalu, perlu diberi perhatian sewajarnya apabila menunjukkan semangat juang tinggi di tempat sendiri.

Kejayaan mara ke perlawanan akhir setiap acara menepati ramalan (kuadran, double, regu dan berpasukan) tidak boleh dilupakan, sekali gus Malaysia kekal menjadi salah satu kuasa besar dalam arena sukan tersebut.

Dua kejuaraan regu dan kuadran termasuk naib johan double dan berpasukan menjadi saksi ribuan peminat Malaysia membanjiri Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Sikap tidak berputus asa menentang Thailand selaku seteru utama ketika aksi berpasukan menjadi bukti sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia bersatu padu berdiri di belakang pemain.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berasa terharu dengan perjuangan para pemain apabila hadir memberikan sokongan moral melihat kesungguhan anak buah Ahmad Jais Baharun.

Katanya lagi, sukan sepak takraw sangat luar biasa daripada segi permainan dan bakal berkembang pesat serta meningkatkan tahap prestasi pada masa akan datang.

Tambahnya, ia juga mampu menarik lebih banyak penaja dan boleh menjana pelaburan terbaik dalam sukan itu.

"Saya hadir di stadium. Saya melihat sokongan rakyat Malaysia terhadap sukan sepak takraw semakin baik.

"Dan ini merupakan satu sukan yang memiliki potensi besar untuk terus mendapatkan penaja kerana ramai mengikuti sukan ini," katanya. - Stadium Astro


#sepak takraw #Piala Asia ASTAF #Menteri Belia dan Sukan #Hannah Yeoh