SPORTS

Sepak takraw: Mohamad Azlan alami keretakan tulang siku

Bernama 20/05/2025 | 09:31 MYT
Mohamad Azlan mengalami kecederaan ketika beraksi dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan di Kejohanan ASTAF Sepak takraw Piala Asia 2025 yang lalu. - Foto FB Persatuan Sepaktakraw Malaysia
KUALA LUMPUR: Pemain apit kanan negara Mohamad Azlan Alias disahkan mengalami keretakan tulang di siku kiri susulan insiden ketika aksi final acara regu berpasukan kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini, Ahad lepas.


Ringkasan AI
  • Kecederaan Mohamad Azlan Alias: Pemain apit kanan negara, Mohamad Azlan Alias, mengalami keretakan tulang di siku kiri ketika aksi final regu berpasukan Piala Asia 2025 dan dijangka berehat selama dua bulan untuk pemulihan.
  • Keputusan perlawanan akhir: Walaupun mengalami kecederaan, Azlan tetap beraksi hingga tamat perlawanan, tetapi skuad Malaysia tewas 0-2 kepada Thailand dalam perlawanan sengit, dengan kedua-dua regu negara gagal menyekat penguasaan lawan.
  • Dedikasi pemain negara: Meskipun dalam kesakitan, Azlan terus berjuang bersama pasukannya, menunjukkan semangat juang tinggi, namun tidak dapat mengubah keputusan perlawanan akhir yang berpihak kepada Thailand.


Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan Mohamad Azlan dijangka berehat selama dua bulan bagi menjalani proses pemulihan.

"Killer utama negara, Azlan Alias disahkan mengalami keretakan tulang di siku oleh doktor selepas menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh pagi ini. Azlan dijangka berehat selama dua bulan," menurut PSM dalam kenyataan hari ini.

Pada perlawanan akhir acara regu berpasukan, skuad negara tewas 0-2 kepada musuh tradisi yang juga gergasi sepak takraw dunia, Thailand.



Meskipun mengalami kecederaan ketika melakukan pendaratan di set pertama, Mohamad Azlan tetap meneruskan aksi demi menggalas tanggungjawab bersama pasukan negara hingga perlawanan tamat.

Mohamad Azlan yang beraksi dalam kesakitan bersama Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Azmi (apit kiri) itu tewas 11-15 pada set pertama sebelum bangkit menguasai set kedua 15-12 namun kecundang 15-17 dalam pertarungan mendebarkan.

Regu kedua negara dibarisi Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin yang diletakkan harapan untuk menghidupkan peluang Malaysia pada perlawanan akhir juga gagal menyekat penguasaan Thailand, apabila tewas 15-13, 13-15, 4-15.

-- BERNAMA








#apit kanan negara #Mohamad Azlan Alias #keretakan tulang siku #Sepak Takraw Piala Asia 2025