SPORTS
Sepak Takraw Piala Asia: Kuadran Malaysia, Jepun berentap di final
Aksi pemain negara menahan bola dari libasan pemain Korea Selatan dalam pertandingan separuh akhir acara kuadran pada Kejohanan ASTAF Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia mencapai sasaran melangkah ke final acara kuadran selepas menundukkan Korea Selatan 2-0 pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 dalam suasana penuh debaran di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Pasukan negara menewaskan Korea Selatan 2-0 dalam perlawanan sengit di Stadium Titiwangsa, dengan kemenangan disumbangkan oleh Muhammad Afifuddin, Amirul Zazwan, Norfaizzul, dan Muhammad Shahalril.
- Malaysia bakal berdepan Jepun yang mengejutkan Vietnam dalam separuh akhir, dan pemain negara menegaskan mereka tidak akan memandang rendah keupayaan lawan.
- Apit kiri Norfaizzul menyatakan kemenangan ini adalah hasil kerja berpasukan dan berharap strategi terbaik dapat digunakan untuk menghadapi final.
Berbekalkan sorakan padu penonton, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahalril Aiman Halim menyumbang mata pertama negara menerusi kemenangan 15-13.
Korea Selatan cuba bangkit untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun kesilapan servis dilakukan pemainnya terpaksa merelakan Malaysia meraih kemenangan dengan 15-8.
Kemenangan itu menyaksikan anak buah Mohammad Zulkarnain Abdul Rahman menempah pertemuan menentang Jepun malam ini, yang mengejutkan naib juara Piala Dunia Sepak Takraw di Bihar Mac lepas iaitu Vietnam, 15-12, 15-11 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Apit kiri negara Norfaizzul dalam pada itu berkata kemaraan skuad negara ini hasil usaha sepasukan.
"Alhamdulillah mara ke final dan agak terkejut dengan kekalahan Vietnam kepada Jepun sebab kita tahu mereka lebih berpengalaman dalam acara kuadran.
"Apa pun kami akan ambil pendekatan sewajarnya untuk tidak pandang rendah kepada mereka (Jepun) sebab kita sudah pernah bertemu di peringkat kumpulan," katanya ketika ditemui pemberita selepas aksi separuh akhir.
-- BERNAMA
#Sepak Takraw Piala Asia
#kuadran Malaysia
#tewaskan Korea Selatan
#mara ke fonal
#bertemu Jepun
#terkini