KUALA LUMPUR: Sepakan penalti pemain pertahanan Rafael Vitor Santos de Freitas pada masa kecederaan membantu Penang FC mengikat Terengganu FC (TFC) 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya malam tadi.

Sepakan itu diperoleh selepas penjaga gol TFC Muhammad Rahadiazli Rahalim merempuh Nik Akif Syahiran Nik Mat dalam kawasan penalti.

Terdahulu, kedua-dua pasukan bermula sedikit perlahan dengan beberapa percubaan dilakukan namun tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Babak kedua menyaksikan pemain kedua-dua pasukan lebih agresif sehingga Muhammad Syahmi Zamri meledak gol dari sudut kiri gawang lawan pada minit ke-66 untuk meletakkan skuad Penyu di hadapan sebelum Vitor menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.

Sementara itu di Stadium Darul Makmur, Kuantan menyaksikan skuad Sri Pahang gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pasukan pelawat membuka tirai jaringan melalui penyerang Heberty Fernandes De Andrade seawal minit keenam sebelum rembatan Bergson da Silva menewaskan penjaga gol Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-42.

Keputusan 2-0 berpihak kepada JDT kekal sehingga wisel penamat.

Di Stadium Perak, Ipoh pula menyaksikan hasrat Perak FC untuk merasai nikmat kemenangan tidak kesampaian apabila tunduk 0-1 kepada Sabah FC.

Barisan serangan pasukan tuan rumah seolah-olah longlai apabila gagal memecah kubu skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee untuk menghasilkan jaringan walaupun mendominasi permainan.

Perak memperoleh peluang untuk menjaringkan awal pada minit ke-32 menerusi Seo Seonung namun rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gawang Sabah Khairul Fahmi Che Mat.

Usaha Perak untuk mengikat permainan dan membawa pulang satu mata tidak berjaya apabila Sabah berjaya memperoleh gol tunggal perlawanan menerusi ketua pasukan mereka, Park Taesu pada minit ke-85 hasil keadaan kucar-kacir di depan pintu gol tuan rumah.

-- BERNAMA