SUKAN
Separuh akhir Olimpik jadi misi utama presiden baharu Olahraga Malaysia
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim ketika sidang media jawatan tertinggi penggal 2025-2029 di Mesyuarat Agung Tahunan Olahraga Malaysia pada Ahad. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden baharu Olahraga Malaysia (MA) Datuk Karim Ibrahim bertekad untuk menamatkan penantian hampir 50 tahun bagi melihat atlet olahraga negara mara ke peringkat separuh akhir temasya Olimpik.
Ringkasan AI
- Datuk Karim Ibrahim berazam melonjak prestasi olahraga negara ke tahap lebih tinggi, dengan sasaran menamatkan penantian 50 tahun ke peringkat separuh akhir Olimpik.
- Pelbagai inisiatif dirancang, termasuk memperkukuh pembangunan akar umbi, memperkenalkan semula program bakat kebangsaan, dan program B-10 untuk melahirkan atlet pecut bawah 10 saat.
- Tumpuan juga diberikan kepada acara lompatan, yang dikenal pasti berpotensi besar berdasarkan fasiliti dan kepakaran sedia ada di Malaysia.
Beliau berkata beberapa inisiatif sedang mula dirancang bagi memastikan misi itu dapat direalisasikan, termasuk menguatkan lagi pembanggunan utama akar umbi selain memperkenalkan semula program pembanggunan bakat kebangsaan yang pernah dijalankan sebelum ini.
"Sudah hampir 50 tahun kita ketinggalan, tidak ada seorang atlet (olahraga) pun masuk ke separuh akhir Sukan Olimpik, kita perlu buat sesuatu.
"Saya tetap optimis bahawa kita boleh capai perkara ini, namun ia tidak boleh dilakukan tanpa sokongan kerajaan, persatuan negeri dan sokongan pelbagai pihak," katanya ketika ditemui semalam.
Untuk rekod kali terakhir Malaysia berjaya melayakkan diri ke separuh akhir acara olahraga adalah menerusi Allahyarham Ishtiaq Mubarak dalam acara 110 meter (m) berpagar pada Sukan Olimpik 1976 yang merupakan individu kedua selepas Tan Sri M.Jegathesan pada Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun dalam acara pecut 200 m.
Sementara itu Karim berkata pihaknya juga akan memperkenalkan program 'B-10' bagi melahirkan atlet pecut yang mampu berlari di bawah catatan masa 10 saat (s).
Beliau berkata ketika ini Malaysia hanya mempunyai seorang atlet yang berpotensi berlari di bawah 10 s iaitu pemegang rekod kebangsaan acara 100 m, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.
"Kalau kita ada dua orang atlet yang boleh lari bawah 10 s saya rasa kita ada peluang dalam acara relay dan mungkin kita boleh masuk separuh akhir (Olimpik)," katanya.
Karim berkata selain acara pecut pihaknya juga akan memberi fokus kepada acara lompatan yang dilihat memiliki potensi besar ketika ini berdasarkan kepakaran dan fasiliti yang dimiliki Malaysia."
-- BERNAMA