SUKAN

Shah Firdaus tidak sertai ACC 2026

Bernama 03/02/2026 | 03:30 MYT
Shah Firdaus terpaksa berehat panjang hingga Mac depan selepas menjalani pembedahan lutut pada tahun lepas. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom sah tidak akan menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Filipina, Mac depan.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan Harnizam Basri berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan pelumba berusia 30 tahun itu benar-benar cergas sebagai persiapan menghadapi pusingan akhir Kejohanan Trek Piala Dunia 2026 di Nilai, April ini.

"Shah tidak masuk ACC bukan sebab kecederaan. Buat masa ini dia memang sudah fit cuma dia kena cari semula kekuatan untuk kembali berlumba," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Shah Firdaus terpaksa berehat panjang hingga Mac depan selepas menjalani pembedahan lutut pada tahun lepas.

Bagaimanapun, pelumba yang mendapat julukan The Terminator itu membuat penampilan mengejut dalam acara keirin elit lelaki pada pusingan kedua Kejohanan Siri Trek Asean (Piala Presiden).



SUKAN-BASIKAL TREK (SHAH FIRDAUS) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Dalam pada itu, Harnizam memaklumkan pelumba berbasikal trek negara akan berkampung di Melbourne Australia bagi menjalani latihan pusat sebagai persiapan menghadapi kejohanan ACC 2026.

Beliau berkata Muhammad Shah Firdaus turut akan menyertai kem latihan itu meskipun tidak mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan.

Untuk rekod, pada ACC tahun lepas yang berlangsung di Nilai, pasukan Malaysia menamatkan saingan pada kedudukan kedua keseluruhan selepas mengumpul dua emas dan masing-masing empat perak serta gangsa.

Dua emas negara disumbangkan menerusi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara keirin dan ujian masa 1 kilometer wanita.

-- BERNAMA

#Muhammad Shah Firdaus Sahrom #acc #pembedahan lutut #Harnizam Basri