SUKAN

Shahmalarani terima imbuhan SHAKAM RM40,000 - Hannah

Bernama 02/12/2025 | 15:00 MYT
Hannah bercakap kepada pemberita selepas Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang II Penggal ke-35, Sesi 2025-2026 di Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Atlet karate negara C. Shahmalarani bakal menerima imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM40,000 susulan kejayaan merangkul pingat perak pada Kejohanan Dunia Karate di Kaherah, Mesir pada Ahad lepas.


Ringkasan AI
  • Atlet karate negara, C. Shahmalarani, diiktiraf dengan imbuhan RM40,000 melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selepas meraih pingat perak di Kejohanan Dunia Karate di Mesir.
  • Kejayaan Shahmalarani menandakan kembalinya Malaysia ke pentas akhir kejohanan dunia karate selepas 11 tahun serta mengukuhkan kedudukannya sebagai sandaran utama sukan karate negara.
  • Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turut mengumumkan tiga usul pembangunan belia yang dibincangkan dalam Sidang Kedua Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) hari ini, termasuk mekanisme aduan AI dan intervensi awam terhadap masalah sosial belia.


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata imbuhan itu sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang Shahmalarani yang melayakkan diri ke pentas final buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun bagi negara.

"Kejayaan ini menamatkan penantian panjang negara untuk kembali bersaing di peringkat akhir kejohanan dunia karate dan mengukuhkan kedudukan Shahmalarani sebagai antara sandaran utama sukan karate negara di pentas antarabangsa," katanya pada sidang media selepas Sidang Kedua Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Penggal ke-35, Sesi 2025-2026 di sini hari ini.

Dalam aksi final kumite wanita bawah 50 kilogram (kg), Shahmalarani tumpas 1-6 kepada wakil Uzbekistan Gulshan Alimardanova.

Kali terakhir Malaysia merangkul pingat di pentas final adalah menerusi Syakilla Salny Jefry Krishnan yang tunduk kepada Giana Farouk dari Mesir dalam acara wanita bawah 61kg pada edisi 2014.

Sementara itu, Hannah berkata sebanyak tiga usul berkaitan pembangunan belia dibahaskan oleh para perwakilan pada Sidang Kedua MPBN Penggal ke-35 hari ini.

Tiga usul itu adalah kerajaan membangunkan satu mekanisme aduan menyeluruh berteraskan kecerdasan buatan (AI), kerajaan memperkasa ekosistem pelapis kepimpinan dan sosioekonomi belia secara bersepadu serta menggesa kerajaan mewujudkan intervensi awam terhadap risiko masalah sosial dan kesihatan dalam kalangan belia.

-- BERNAMA


#kecerdasan buatan #SHAKAM #pingat perak #pentas final