KUALA LUMPUR: Bekas ratu pecut negara, G. Shanti melaungkan cabaran kepada atlet pecut wanita negara untuk memadamkan rekod kebangsaan 100 meter (m) miliknya yang sudah berusia 31 tahun.

Bekas atlet berusia 56 tahun itu berkata, beliau khuatir dengan barisan atlet sedia ada yang masih belum menonjolkan kehebatan mereka untuk menyaingi rekodnya itu selain beranggapan tiada atlet berpotensi beraksi lebih cemerlang bagi acara kegemarannya itu pada masa akan datang.

"Saya sedih, rekod 100m sebenarnya boleh dipecahkan, Zaidatul (Husniah Zulkiflidah) sebelum ini sudah lebur rekod itu tapi tidak dikira, saya harap masa akan datang ada atlet yang akan muncul untuk pecahkannya. Rekod itu sudah lama, ikutkan timing 11.50 saat (s) sepatutnya boleh dipecahkan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada 2017, Zaidatul Husniah mencatatkan rekod 11.36s yang dianggap sudah mengatasi rekod Shanti namun tidak diiktiraf juri pertandingan sejam kemudian kerana dikatakan mendapat bantuan tiupan angin 2.5 km/j.

Dalam pada itu, Shanti turut mengingatkan atlet negara supaya lebih berdisiplin selain menggandakan usaha untuk beraksi cemerlang.

"Saya tidak nampak potensi atlet sekarang, nasihat saya atlet perlu ambil berat bagaimana atlet berlatih, disiplin, latihan dengan jurulatih...sikap ini penting dan mainkan peranan," katanya.

Shanti masih memegang rekod wanita terpantas di Malaysia selepas mencatat masa 11.50s dalam acara 100m di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993. - BERNAMA