KUALA TERENGGANU: Siasatan kes pergaduhan membabitkan pemain dan pegawai pasukan ketika perlawanan Liga Bolasepak Terengganu (TFL) pada 12 Januari lalu telah dilengkapkan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, seramai enam individu, termasuk seorang kakitangan awam, berusia 25 sehingga 40 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan tersebut.

Katanya kertas siasatan sudah dilengkapkan dan akan dirujuk terlebih dahulu ke Bukit Aman sebelum proses selanjutnya dilakukan.

"Kita telah buat enam tangkapan dan sorang melibatkan penjawat awam.

"Kes ini telah disiasat dan siasatan telah dilengakapi dan kita akan hantar kertas siasatan ini ke Bukit Aman dahulu kerana melibatkan satu penjawat awam dan kemudian itu barulah kita tengok macam mana proses seterusnya," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Terdahulu, tular di media sosial klip berdurasi 43 dan 22 saat memaparkan kekecohan antara pemain serta penyokong selain insiden seorang lelaki yang terjatuh turut disepak.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika perlawanan TFL 2023 di padang sintetik Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

Kekecohan itu dikatakan tercetus berpunca perasaan tidak puas hati dengan permainan kasar sehingga berlakunya insiden pergaduhan serta kekecohan.