Jika anda peminat MotoGP Dunia dan bercadang menyaksikan perlumbaan motosikal berkenaan di Litar Sepang pada 27 hingga 29 Okt depan, anda perlu mendapatkan tiket dengan segera.

Ini kerana, Sepang International Circuit (SIC) menjangkakan kesemua tiket untuk menyaksikan perlumbaan motosikal berprestij itu akan habis dijual kira-kira dua bulan sebelum kejuaraan itu berlangsung.

"MotoGP sentiasa memberi kita kejutan. Jualan tiket mengejutkan dan jika melihat kepada trend penjualan tiket ketika ini, ia akan habis dijual sepenuhnya dua bulan sebelum perlumbaan berlangsung," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali kepada Bernama baru-baru ini.

Malah, beliau berkata penjualan tiket bagi seksyen Grandstand K untuk menyaksikan perlumbaan itu telah habis terjual beberapa bulan lepas.

Razlan berada di Bangkok bagi mempromosi perlumbaan terakhir F1 di Litar Sepang dari 29 Sept hingga 1 Okt ini, serta MotoGP, bersama pejabat Tourism Malaysia di Thailand yang diwakili pengarahnya Abdul Haris Hadi.

Beliau berkata penjualan tiket MotoGP pada tahun ini, amat mengejutkan dan ia sesuatu yang sangat positif kepada SIC.

Kira-kira 161,000 peminat membanjiri Litar Sepang sepanjang tiga hari menyaksikan MotoGP 2016, dan jumlah itu merupakan bilangan penonton paling ramai sejak SIC mula menganjurkan perlumbaan motosikal berkenaan pada 1999.

Tahun lepas juga, SIC menandatangani kontrak dengan pemegang hak MotoGP, Dorna Sports untuk menganjurkan perlumbaan motosikal itu sehingga 2021.

Ditanya kemungkinan SIC bakal menganjurkan lebih banyak perlumbaan motosikal di Litar Sepang berikutan sambutan hangat peminat tempatan terhadap perlumbaan jentera dua roda, Razlan berkata pihaknya masih mengkaji berhubung perkara itu.

Ini kerana, SIC pernah membawa World Superbike ke Litar Sepang, namun sambutan daripada penonton tidak memberangsangkan menyebabkan perlumbaan itu digugurkan.

"...mungkin MotoGP sahaja yang boleh menarik ribuan rakyat Malaysia, tetapi kita masih tidak tutup pintu kepada perlumbaan dua roda lain, kita masih selidik dan akan membuat keputusan," katanya.

Mengenai hasrat Thailand untuk menganjurkan MotoGP Dunia di Litar Buriram pada tahun depan dan kemungkinan memberi kesan terhadap perlumbaan di Sepang, beliau berkata ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada SIC.

Ini kerana, beliau berkata bagi memastikan penganjuran sesuatu acara seperti F1 dan MotoGP itu berjaya, ia perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya antara 70 dan 80 peratus daripada peminat tempatan.

"Jikal trend (70 hingga 80 peratus peminat tempatan) itu dapat dikekalkan dan sekiranya Indonesia atau Thailand hendak menganjurkan MotoGP, ia tidak ada masalah. Bagi saya, kita kena memastikan MotoGP kekal relevan kepada penonton Malaysia," katanya.

Bagi perlumbaan MotoGP Malaysia, 80 peratus penonton yang menyaksikan perlumbaan itu adalah peminat tempatan manakala selebihnya penonton luar negara, kata Razlan.

-- BERNAMA