Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yakin mampu mencari penaja baharu untuk SIC Racing Team sebelum bermulanya perlumbaan MotoGP, musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali menjelaskan keputusan Petronas menarik diri sebagai penaja utama pasukan berkenaan baru-baru ini, tidak akan menjejaskan perancangan mereka untuk menghadapi musim baharu tersebut.

Beliau memaklumkan pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa penaja swasta yang berminat menaja pasukan berkenaan dan rundingan dijangka dimuktamadkan sebelum pelancaran pasukan itu pada 20 Februari depan.

"Kita masih ada lagi masa untuk mendapatkan penaja baharu kerana sesi ujian pra-musim hanya akan diadakan pada penghujung Januari depan sebelum kita melancarkan pasukan Moto3 pada 14 Februari dan pasukan Moto2 pada 20 Februari depan.

“Saya tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut kerana kita masih mengadakan perbincangan dengan pihak penaja, namun kita yakin pasukan akan bersedia sepenuhnya bagi menghadapi musim baharu,” katanya.

Razlan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman tiga pelumba Malaysia untuk saingan perlumbaan lasak Le Mans Asia di sini, hari ini.

BACA: Henti taja Hafizh, Petronas tumpu pembangunan pelumba pelapis

Petronas masih mengekalkan tajaan dalam kategori Moto3, yang menampilkan pelumba negara Adam Norrodin dan pelumba Jepun Ayumu Sasaki yang akan bersaing bersama pasukan yang dikenali sebagai Petronas Sprinta Racing pada musim 2018 walaupun tidak menaja pasukan SIC Racing Team.

Pada Oktober lepas, Petronas dan SIC menjalin kerjasama strategik untuk membentuk pasukan Petronas Sprinta Racing, sebuah pasukan baharu yang dibentuk untuk beraksi dalam kelas Moto2 dan Moto3 pada perlumbaan MotoGP musim depan.

Kerjasama itu juga merupakan tanda komitmen jangka panjang dalam membangunkan bakat baharu kerana ia menyediakan platform untuk pelumba motosikal bersaing pada kejohanan antarabangsa daripada kejohanan tempatan menerusi SIC, yang mempunyai sumber dan pengalaman dalam menguruskan pasukan.

Kerjasama itu akan melengkapi usaha Program Pembangunan Bakat Petronas dan Program Pembangunan Bakat SIC (SICTD) untuk membimbing bakat di masa depan daripada kejohanan Malaysian Cub Prix, Asia Road Racing dan Asia Talent Cup untuk membina kerjaya dalam kejohanan Moto2 dan Moto3.

-- BERNAMA