[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
SUKAN

Silat Sukan SEA: Muhammad Izzul sah pertahan emas selepas tiga jam menunggu

Bernama 17/12/2025 | 10:15 MYT
Kem pencak silat Malaysia mengemukakan bantahan sejurus perlawanan tamat selepas mendapati kaki Phiraphon terkeluar daripada gelanggang ketika melakukan serangan ke atas Muhammad Izzul (gambar). - Gambar fail/Bernama
BANGKOK: Pesilat negara Muhammad Izzul Irfan Marzuki melalui detik penuh dramatik apabila terpaksa menunggu lebih tiga jam sebelum disahkan membawa pulang pingat emas Kelas D (60-65kg) lelaki hari ini.


Ringkasan AI
  • Muhammad Izzul Irfan Marzuki menunggu lebih tiga jam sebelum disahkan membawa pulang pingat emas Kelas D (60-65kg) selepas bantahan kem pencak silat Malaysia berjaya, menyebabkan Phiraphon Mitthasan dari tuan rumah tewas.
  • Pesilat negara lain, Muhamad Helmi Basrol dan Muhammad Amirul Hakim Jaaffar, masing-masing meraih pingat perak dalam pertandingan mereka.
  • PESAKA memuji Ummi Mashitah Hassan yang baru dua tahun dalam sukan silat, menang emas Kelas C (55-60kg) wanita dengan kejayaan membanggakan di Sukan SEA.


Pada saingan hari terakhir pencak silat di Dewan 4, IMPACT Arena, Muang Thong Thani hari ini, Muhammad Izzul hampir gagal mempertahankan emas dimenanginya sebelum ini, selepas tewas 57-60 kepada wakil tuan rumah Phiraphon Mitthasan.

Bagaimanapun, kem pencak silat Malaysia mengemukakan bantahan sejurus perlawanan tamat selepas mendapati kaki Phiraphon terkeluar daripada gelanggang ketika melakukan serangan ke atas Muhammad Izzul.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata bantahan yang diterima wasit atau pengadil menyaksikan pihak lawan dipotong 10 mata, dan menganugerakan kemenangan kepada Muhammad Izzul dengan keputusan 57-50.

"Saya tengok bukan mudah untuk Izzul dapat pingat emas sebab dia bertarung dengan sepenuh jiwa.

"Saya faham bila lawan pasukan tuan rumah, bukan mudah, tapi dia sememangnya layak meraih emas yang telah dimenangi di Phnom Penh (Sukan SEA 2023)," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, dua pesilat negara Muhamad Helmi Basrol dan Muhammad Amirul Hakim Jaaffar terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Muhammad Amirul akur kepada wakil tuan rumah Areef Arli 37-58 dalam Kelas E (65-70kg), manakala Muhamad Helmi tewas 52-63 kepada Tito Hendra Septa dari Indonesia dalam pertarungan Kelas A (45-50kg).

Megat Omardin memuji pesilat baharu dan pemenang emas Kelas C (55-60kg) wanita Ummi Mashitah Hassan yang melakar kejayaan membanggakan meskipun baru dua tahun menceburi sukan silat.

Beraksi dalam penampilan sulung di Sukan SEA, Ummi Mashitah menampilkan aksi menakjubkan menumbangkan wakil tuan rumah Anuntaya Nyompan 104-88.

Beliau juga bersyukur kem silat negara melepasi sasaran dua emas ditetapkan dengan membawa pulang tiga pingat emas secara keseluruhan.

Ahad lepas, pesilat negara Nur Syafiqah Hamzah mengungguli kategori tunggal puteri selepas mengumpul 9.960 mata.

-- BERNAMA










#pesilat negara #Muhammad Izzul Irfan Marzuki #Sukan SEA #pingat emas #terkini