KUALA LUMPUR: Malaysia diberi penghormatan menjadi negara pertama untuk Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memperkenalkan sistem ranking dunia buat julung kali bagi sukan itu dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini dari 19 hingga 26 Mei depan.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata pengenalan sistem ranking ada kejohanan itu merupakan antara usaha bagi membolehkan sukan sepak takraw mendapat pengiktirafan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk dipertandingkan dalam temasya Sukan Olimpik.

"...mungkin selepas ini ISTAF hanya membenarkan negara yang ada ranking sahaja masuk kejohanan berprestij seperti Sukan Asia sama seperti badminton dan sukan-sukan lain.

Ini adalah proses kemas kini bagi membolehkan mendapat pengiktirafan daripada IOC dan kalau sepak takraw masuk Sukan Olimpik sudah ada sistem yang diperkenalkan dan tidak cacamarba sebab itu Piala Dunia di Malaysia ini amat penting," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Piala Dunia Sepak Takraw di sini hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan.

Menyentuh mengenai kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, Abdul Halim memaklumkan sekurang-kurangnya 16 negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan berprestij berkenaan dengan 11 daripadanya sudah mengesahkan slot menerusi tiga acara iaitu berpasukan, regu dan berpasangan.

Beliau berkata 11 negara yang mengesahkan penyertaan mereka ialah Malaysia, Thailand, India, Korea Selatan, Myanmar, China, Taipei, Vietnam, Brunei, Singapura dan Jepun.

"Penyertaan Piala Dunia Sepak Takraw ini hanya terbuka kepada pasukan lelaki sebab wanita akan berlangsung di Arab Saudi tahun depan.

Jadi memang banyak pasukan elit akan sertai dan kita juga sebenarnya dapat maklum balas positif daripada Jerman, kombinasi negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat yang turut mahu menghantar pasukan mereka. Tarikh tutup penyertaan pada hujung bulan ini," katanya.

-- BERNAMA