SHAH ALAM: Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selangor merangkul kejuaraan bola sepak Piala Raja Muda Selangor (RMS) 2022 selepas mengalahkan SK Puchong 2-1 pada perlawanan akhir di padang latihan Persatuan Bola Sepak Selangor di sini, semalam.

Selaku Juara, SK Seri Selangor membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, piala, pingat serta sijil yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Rohayati Abd Hamed.

SK Puchong, yang muncul naib juara, membawa pulang RM3,000 manakala SK Serdang dan SK Subang Bestari yang menduduki tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000 berserta pingat dan sijil.

Selain itu, lapan pasukan yang layak ke peringkat suku akhir menerima jersi tajaan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS).

Kejohanan edisi ke-33 itu bermula pada 22 Nov lepas, melibatkan 640 pemain berusia bawah 12 tahun menerusi 32 pasukan dari 32 sekolah rendah mewakili Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan sekolah PPD Petaling Utama.

Perlawanan berlangsung secara liga dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati (16 terbaik) sebelum ke suku akhir, separuh akhir dan kemuncak adalah perlawanan akhir yang berlangsung semalam.

KPS sekali lagi menjadi penaja utama kejohanan itu sejak 2013 dengan nilai tajaan sebanyak RM75,000.

-- BERNAMA