Ski: Aruwin intai peluang ke Piala Dunia

Aruwin Salehhuddin, peluncur ski Malaysia, mengejar impian menjadi atlet terkemuka dalam Piala Dunia. - Stadium Astro
APABILA menyebut tentang kuasa besar sukan ski pergunungan, nama-nama seperti Austria, Perancis, Itali, Norway dan Switzerland pasti terlintas di fikiran.
Ringkasan AI
- Malaysia muncul sebagai peserta dalam acara sukan ski musim sejuk, walaupun negara ini tidak berada di kawasan bersalji Eropah yang terkenal dengan tradisi tersebut.
- Aruwin Salehhuddin, peluncur ski Malaysia berusia 21 tahun, mengejar impian menjadi atlet terkemuka dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk.
- Aruwin Salehhuddin menitikberatkan hasratnya bukan hanya untuk kejayaan peribadi, tetapi juga untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia agar berani mencapai potensi luar biasa walaupun berasal dari negara tropika.
Malaysia telah pun melakar sejarah kecil dalam arena Sukan Olimpik Musim Sejuk. Setakat ini hanya tiga atlet -- Jeffrey Webb, Julian Yee, dan Aruwin Salehhuddin -- pernah membawa Jalur Gemilang ke pentas itu.
Aruwin Salehhuddin, peluncur ski berusia 21 tahun, kini memikul harapan besar.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama olympics.com pada permulaan musim 2025/2026, Aruwin mengakui impian besarnya semakin menghampiri kenyataan.
“Saya teringin sangat untuk beraksi di Piala Dunia. Saya rasa ia sudah semakin menghampiri saya,” katanya.
Pada usia 17 tahun, Aruwin mencipta sejarah di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 apabila menjadi atlet wanita pertama Malaysia yang bertanding dalam acara ski.
Hampir empat tahun berlalu, dia masih komited untuk mengubah landskap sukan musim sejuk di tanah air.
“Tidak mustahil Malaysia memiliki peluncur ski pertama di pentas Piala Dunia, dan saya mahu jadi orang yang melakukannya,” tegasnya.
Namun, impian besar itu bukan sekadar tentang dirinya. Aruwin mahu rakyat Malaysia melihat potensi luar biasa yang mampu dikecapi walaupun datang dari negara tropika.
“Saya mahu rakyat Malaysia mendapat inspirasi, mendapat keberanian untuk keluar daripada pemikiran bahawa ‘kita negara tropika, tak boleh pergi jauh.
“Saya rasa kita mampu lakukan lebih banyak daripada apa yang kita sangka,” ujarnya.
Aruwin bukan sahaja sedang membina kerjayanya, tetapi juga membuka jalan untuk generasi baharu atlet musim sejuk Malaysia, sebuah laluan yang suatu ketika dahulu mungkin dianggap mustahil.
Kini, dengan semangat dan visi yang semakin jelas, masa depan sukan ski negara tampak lebih cerah daripada sebelumnya. -- Stadium Astro
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


