Skuad bola sepak wanita negara tumpas di tangan India

Astro Arena
Julai 31, 2017 23:00 MYT
Pemain India Pyari melepaskan rembatan ketika menentang Malaysia pada perlawanan persahabatan antarabangsa bola sepak wanita di Stadium Selayang malam tadi. - Foto BERNAMA
Skuad bola sepak wanita negara tewas 2-0 kepada India dalam aksi persahabatan di Stadium Selayang, malam tadi.
Kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang pada separuh masa pertama walapun skuad pelawat menguji gawang Malaysia dengan lima percubaan tepat.
India beraksi lebih kemas selepas rehat sehingga berjaya mencetak gol pembukaan pada minit ke-77 hasil rembatan leret penyerangnya, Pyari Xaxa.
Skuad negara yang dibimbing Mohd Aysraaf Abdullah cuba mencari gol penyamaan tetapi setiap gerakan dilancarkan mudah dipatahkan India.
Sembilan minit selepas gol pertama, Xaxa sekali lagi muncul penjaring buat skuad Maymol Rocky apabila tandukannya gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Nurul Azurin Mazlan, sekaligus melengkapkan kemenangan 2-0 India.
Skuad negara gagal mengulangi persembahan cemerlang ketika menewaskan Nepal 4-1, Mei lalu.
Perlawanan menentang India merupakan aksi antarabangsa terakhir buat skuad negara sebelum mengharungi saingan Sukan SEA bulan depan.
"Kedua-dua pasukan bermain dengan baik tetapi kami berjaya meraih kemenangan dalam perlawanan ini," kata Maymol.
"Saya melihat penjaga gol dan kapten pasukan, Masturah Majid, merupakan antara pemain yang menonjol dalam perlawanan ini buat Malaysia. Mereka menurunkan barisan pemain yang muda dan memiliki masa depan yang cerah.
"Saya percaya Malaysia mampu menghasilkan kejayaan dalam Sukan SEA selepas mengharungi beberapa aksi persahabatan antarabangsa."
Sementara itu, Asyraaf menerima keputusan perlawanan ini secara positif dan melihatnya sebagai satu pengalaman yang baik buat Malaysia untuk menghadapai saingan Sukan SEA nanti.
"Kami mengambil positif perlawanan ini. Saya melihat mereka berjaya mengadaptasi taktikal yang telah diterapkan. India merupakan pasukan yang berkualiti dan ia membantu Malaysia meraih satu pengalaman yang sangat baik," katanya.
"Walaupun di usia 17 tahun, dia memiliki kualiti untuk menjadi penjaga gol yang cemerlang di masa akan datang.
#bola sepak #India #Malaysia #Stadium Selayang