KUALA LUMPUR: Skuad wushu kebangsaan akan berkelana ke Beijing, China selama sebulan bermula 24 Ogos ini, sebagai persiapan untuk mencapai sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Ia bagi memastikan atlet negara 100 peratus bersedia untuk temasya yang akan berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt ini, kerana tugas "mencuri" pingat daripada kuasa besar wushu dunia, China dianggap tugas cukup sukar lebih-lebih lagi di laman mereka sendiri.

Ketua kontinjen (CDM) negara ke Sukan Asia 2022 Datuk Chong Kim Fatt berkata berdasarkan prestasi pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu baru-baru ini, jurang dengan China serta Hong Kong dan Macau meningkat selepas pandemik COVID-19 kerana mereka meneruskan latihan tanpa gangguan, manakala semua aktiviti di Malaysia dihentikan.

Namun, Kim Fatt yang juga Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), lega selepas mendapat lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghantar tujuh atletnya menjalani latihan selama sebulan di sebuah universiti di Beijing.

"Kita perlu mencari strategi yang baik dan beri tumpuan kepada acara-acara berpotensi. Atlet kita akan terus ke Hangzhou selepas berlatih dengan atlet kebangsaan China dengan bantuan master di sana.

"Kita mendapati apabila berlatih di China, prestasi dan sikap atlet kita berubah, mungkin kerana tiada gangguan. Jadi kita mahu semangat tinggi dan sikap positif mereka kekal 'panas' sehingga Sukan Asia," katanya selepas melawat pasukan skuasy dan wushu di Bukit Jalil, semalam.

Kali terakhir kem wushu meraih pingat adalah pada edisi 2010 di Guangzhou, apabila membawa pulang sebutir emas dan gangsa, tetapi gagal meraih podium pada edisi 2014 Incheon dan 2018 Jakarta-Palembang, manakala China pula cemerlang dengan mengaut masing-masing 10 emas pada kedua-dua edisi lepas.

Beliau turut menjelaskan WFM tidak mengamalkan pemberian ganjaran berbentuk wang tunai kepada atlet yang meraih pingat pada pertandingan antarabangsa seperti Sukan Asia, tetapi akan memberikan mereka peluang berlatih dan bertanding di luar negara.

Kim Fatt berkata pihaknya juga akan menghantar Tammy Tan Hui Ling, yang menamatkan penantian 38 tahun bagi emas sulung Malaysia di Universiade, untuk menyertai lebih banyak pertandingan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, beliau berkata jumlah penyertaan kontinjen Malaysia setakat ini ialah 402 orang, termasuk 294 atlet.

"Kita tidak menerima apa-apa aduan buat masa ini. Kita sedang berunding dengan penaja untuk mendapatkan tajaan pakaian dan kasut bagi kontinjen kita," katanya.

-- BERNAMA