SUKAN
Skuad wusyu terima 'durian runtuh'

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yoeh (dua, kiri) beramah mesra dengan atlet wushu negara selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan 'durian runtuh' berjumlah RM480,000 buat enam atlet wusyu negara yang pulang dengan kejayaan membanggakan dalam Kejohanan Wusyu Dunia 2025 di Brazil baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Enam atlet wusyu negara terima ganjaran RM480,000 melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selepas meraih lima emas, satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Wusyu Dunia 2025 di Brazil.
- Ganjaran ditetapkan RM80,000 bagi emas, RM40,000 perak dan RM20,000 gangsa, dengan Si Shin Peng penerima tertinggi (RM166,666) diikuti Tan Cheong Min (RM146,666) dan Lee Jia Rong (RM126,666).
- Insentif tambahan untuk badminton: Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terima RM40,000 setiap seorang selepas menjuarai Kejohanan Dunia, manakala Pearly Tan-M.Thinaah terima RM20,000 setiap seorang sebagai naib johan.
"Satu emas RM80,000 dan untuk perak RM40,000 dan untuk gangsa RM20,000. Jadi, yang dapat gangsa itu akan dikongsikan kalau dua orang ataupun tiga orang, mereka akan kongsikan RM20,000 tersebut," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Penerima ganjaran itu terdiri daripada Si Shin Peng, Tan Cheong Min, Lee Jia Rong, Pang Pui Yee, Bryan Ti Kai Jie dan Clement Ting Su Wei dan Shin Peng yang memenangi emas lelaki Qiangshu, Jianshu dan gangsa berpasukan Duilian muncul penerima tertinggi dengan jumlah RM166,666.
Cheong Min yang mengungguli pingat emas wanita Nangun, emas berpasukan Duilian dan perak individu Nandao memperoleh RM146,666 manakala Jia Rong meraih RM126,666 hasil emas wanita individu Daoshu, emas berpasukan Duilian dan gangsa individu Gunshu.
Sementara Pui Yee menerima RM26,666 menerusi emas wanita berpasukan Duilian manakala Bryan dan Clement masing-masing membawa pulang RM6,666 menerusi gangsa berpasukan Duilian.
Dalam pada itu, Hannah turut mengumumkan berita gembira untuk beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang diberikan insentif berjumlah RM40,000 setiap seorang sebagai pengiktirafan menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Paris bulan lepas.
Gandingan Pearly Tan-M.Thinaah yang muncul beregu wanita negara pertama merangkul pencapaian naib johan pada kejohanan sama turut diiktiraf dengan insentif RM20,000 setiap seorang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami