[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
SPORTS

SNBJ gelanggang keramat Harimau Malaya lawan Vietnam

Bernama 21/04/2025 | 22:50 MYT
Rob Friend (gambar) menyuarakan harapan agar penyokong setia memenuhi SNBJ dan menghidupkan suasana luar biasa bagi memberi kelebihan moral kepada Harimau Malaya. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya bakal beraksi di gelanggang keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), apabila melayani kunjungan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun ini.
Perlawanan yang dijangka sengit itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend, yang menyuarakan keyakinan bahawa semangat 'lautan hitam kuning' akan membakar semangat juang anak buah Peter Cklamovski.
"Kami teruja untuk menyambut kehadiran Vietnam ke Bukit Jalil bagi satu perlawanan yang dijangka penuh debaran dan emosi.
"Ini bukan sekadar aksi kelayakan tetapi satu detik yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia di belakang pasukan negara -- satu malam untuk menunjukkan kekuatan semangat kebangsaan kita," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Malaysia NT, semalam.
Friend turut menyuarakan harapan agar penyokong setia memenuhi SNBJ dan menghidupkan suasana luar biasa bagi memberi kelebihan moral kepada Harimau Malaya.
"Kami sedang membina sesuatu yang istimewa. Kami tidak sabar untuk melihat sokongan padu daripada penyokong yang akan menjadikan malam itu sebagai memori yang tidak akan dilupakan," katanya.
Malaysia sebelum ini memulakan kempen Kumpulan F dengan langkah kanan apabila menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, pada 25 Mac lepas.
Selepas aksi menentang Vietnam, skuad negara dijadual berkunjung ke Laos pada 9 Okt, manakala kemas kini ranking FIFA dijangka diumumkan pada 10 Julai.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #Piala Asia 2027 #Rob Friend #Stadium Nasional Bukit Jalil