JOHOR BAHRU: Jerman dan Australia akan berentap di pentas final Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya di sini, hari ini selepas masing-masing memenangi aksi suku akhir yang berlangsung semalam.

Jerman berpesta gol menewaskan India 6-3 dan Australia pula menumpaskan Pakistan 2-1 sekali gus menyaksikan India dan Pakistan akan bertemu bagi penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini.

Terdahulu, Jerman mencipta dua jaringan pada suku kedua menerusi gol padang Christian Franz pada minit ke-16 dan pukulan sudut penalti Nikas Berendts pada minit ke-29.

India yang merupakan juara pada tahun lepas, kembali melakukan serangan pada minit ke-35 suku ketiga dan menjaringkan gol pertama menerusi gol padang pukulan Amandeep Lakra.

Bagaimanapun, skuad kendalian C.R Kumar terus dihukum Jerman pada suku ketiga dengan gol padang Peer Hinrichs pada minit ke-43 dan pukulan sudut penalti yang disempurnakan Nikas dua minit kemudian.

Suku keempat menyaksikan anak buah Rein Van Eijk terus menambah derita pasukan India dengan dua gol penyudah menerusi pukulan sudut penalti Peer pada minit ke-48 dan gol padang Florian Sperling seminit kemudian.

India melancarkan serangan dan memperoleh jaringan kedua menerusi gol padang Uttam Singh pada minit ke-58 dan gol ketiga dari Rohit yang menyempurnakan pukulan sudut penalti dua minit sebelum tamat perlawanan.

Sementara itu, Australia menewaskan skuad kendalian Roelant Oltmans menerusi dua gol padang yang hadir pada suku kedua, yang dilakukan Cooper Burns pada minit 18 dan Brodee Foster pada minit ke-29.

Pakistan cuba mencari peluang, namun hanya berjaya mencipta jaringan pada minit ke-58 hasil gol padang Hannan Shahid dan keputusan kekal 2-1 hingga tamat permainan.

Pada aksi penentuan petang semalam, Malaysia menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas menewaskan Afrika Selatan 3-2.

Jadual:

SABTU:

Penentuan Tempat 5/6

New Zealand lwn Great Britain - 3.35 petang

Penentuan Tempat 3/4

India lwn Pakistan - 6.05 petang

Final

Jerman lwn Australia - 8.35 malam

-- BERNAMA