SOJC: Malaysia seri 1-1 dengan Australia

Pemain Malaysia, Muhammad Atif Aqil Zubir (kanan), diasak oleh pemain Australia Dylan Brick (kiri) dalam perlawanan Piala Hoki Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Impian Malaysia untuk melakar kemenangan pertama pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 tidak kesampaian selepas seri 1-1 dengan Australia pada aksi kedua di Stadium Hoki Johor, Taman Daya di sini malam tadi.
Meskipun mencatat keputusan seri, skuad Young Tigers bimbingan Ketua Jurulatih Nor Saiful Zaini Nasirudin mempamerkan aksi cemerlang berbanding ketika menentang Pakistan pada Sabtu, yang berkesudahan Malaysia tewas 2-7 kepada Pakistan.
Pada aksi suku pertama malam ini, kedua-dua pasukan berbalas serangan sebelum skuad remaja kebangsaan berjaya memecah kebuntuan dengan meraih gol pertama pada minit ke-13 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Azimuddin Shakir Kamaruddin.
Persembahan konsisten yang dipamerkan pada suku pertama itu diteruskan pada suku kedua dan ketiga apabila berjaya menghalang Australia daripada menyamakan kedudukan.Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Ian Grobbelaar muncul penyelamat Australia apabila menyempurnakan peluang pukulan sudut penalti pada minit ke-47 dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.
Sementara itu, Nor Saiful berkata beliau berpuas hati dengan aksi bertenaga yang ditampilkan selain menyifatkan pemain menunjukkan peningkatan ketara berbanding perlawanan pertama semalam.
Beliau berkata strategi pasukan turut diubah selepas menilai kelemahan pada aksi pertama dengan menutup ruang permainan lebih awal bagi menghalang pasukan lawan melakukan hantaran jarak jauh.
"Hari ini saya sangat puas hati kerana mereka bangkit selepas tewas 2-7 semalam. Kami seri satu sama dan hampir menang. Itu satu perkara positif untuk pemain. Walaupun pemain kelihatan sedikit keletihan pada suku keempat, mereka tetap menunjukkan disiplin dan semangat tinggi sepanjang perlawanan," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Nor Saiful turut memuji prestasi penjaga gol muda negara yang hanya melepaskan satu gol berbanding lima pada Sabtu, serta menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Australia.
Mengulas pertemuan seterusnya menentang New Zealand, Nor Saiful berkata keputusan seri semalam memberi keyakinan besar kepada skuad negara untuk beraksi dengan lebih baik.
"Dengan keputusan hari ini, saya rasa pemain bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menentang New Zealand. Kami akan teruskan persiapan dan baiki kelemahan terutama memperkemas pertahanan ketika pukulan sudut penalti," katanya.
Selain pertemuan Malaysia-New Zealand, perlawanan lain pada Selasa ini turut membabitkan Great Britain menentang Australia dan Pakistan berdepan India.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami