Songkhla tidak lagi anjur Sukan SEA 2025, semua 10 acara dipindahkan ke Bangkok

Songkhla dirancang menjadi lokasi untuk 10 acara sukan sempena Sukan SEA 2025, namun perkembangan semasa berkaitan banjir tidak memungkinkan ia dapat dilangsungkan. - AP
KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 acara sukan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Songkhla telah diluluskan untuk dipindahkan ke Bangkok bagi Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Dis ini.
Menurut satu hantaran di Facebook rasmi temasya dwitahunan itu malam ini, pengesahan pemindahan berkenaan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-33 dan Sukan Para ASEAN ke-13 pada Khamis, susulan kejadian banjir di selatan Thailand.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Atthakorn Sirilatthayakon, yang turut dihadiri Gabenor Pihak Berkuasa Sukan Thailand Dr Kongsak Yodmanee, wakil persatuan sukan serta pegawai berkaitan.
"Agenda utama berkaitan pemindahan acara sukan dan lokasi pertandingan bagi Sukan SEA ke-33 disebabkan banjir teruk di wilayah selatan Thailand, yang menyebabkan kerosakan dan menjejaskan tahap kesiapsiagaan, khususnya di Wilayah Songkhla, antara bandar tuan rumah bersama temasya yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis 2025," menurut kenyataan itu.
Sebanyak 10 acara sukan yang akan dipindahkan ke Bangkok dari Songkhla ialah Muay Thai, bola sepak lelaki, catur, kabaddi, wusyu, pencak silat, judo, petanque, karate dan gusti.
Sementara itu, mesyuarat itu turut mengesahkan bahawa acara biliard dan snuker, yang sepatutnya diadakan di Chonburi, kini turut dipindahkan ke Bangkok.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


