SPORTS

Speedy Tigers ditaja Korea Selatan bagi kempen Jelajah Korea

Bernama 16/05/2025 | 10:33 MYT
Speedy Tigers bakal mengharungi beberapa kejohanan pada tahun ini termasuk Piala Asia yang menawarkan slot automatik ke Piala Dunia buat pasukan yang muncul juara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Skuad Speedy Tigers bakal menguji taring mereka sebelum aksi Piala Negara-Negara Jun ini, apabila dijadual 'berkampung' di Korea Selatan bagi kempen Jelajah Korea bermula Ahad ini hingga 19 Mei.


Ringkasan AI
  • Persiapan Terakhir sebelum Piala Negara-Negara: Skuad hoki lelaki Speedy Tigers bakal menyertai Jelajah Korea dari 12 hingga 19 Mei sebagai latihan sebelum kejohanan Piala Negara-Negara di Kuala Lumpur pada Jun, dengan lawatan ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Sukan Korea Selatan.
  • Fokus kepada Kecergasan & Disiplin: Ketua Jurulatih Sarjit Singh berharap pemain dapat meningkatkan kecergasan dan disiplin, kerana Korea Selatan terkenal dengan kekuatan dalam aspek tersebut, termasuk strategi permainan satu lawan satu.
  • Jadual Kejohanan 2025: Selain Jelajah Korea dan Piala Negara-Negara, Speedy Tigers akan menyertai Piala Asia di India dari 27 Ogos hingga 7 Sept, Piala Sultan Azlan Shah pada November, serta Sukan SEA di Thailand pada Disember.


Pengurus skuad hoki lelaki kebangsaan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata lebih menarik jelajah berkenaan bakal ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Sukan Korea Selatan, yang menjemput anak buah kendalian Ketua Jurulatih Sarjit Singh itu bertandang ke negara berkenaan.

Ahmad Najmi berkata kempen itu bakal menjadi persediaan terakhir sebelum skuad Speedy Tigers beraksi bagi kejohanan Piala Negara-Negara di Kuala Lumpur dari 15 hingga 21 Jun ini.

"Kita akan bawa 22 pemain, ada sedikit perubahan pasukan berbanding yang dibawa ke Australia sebelum ini. Selepas ke Korea Selatan, jurulatih Sarjit akan umum pemain yang akan beraksi di Piala Negara-Negara," katanya kepada pemberita pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Sementara itu, Sarjit berharap pemainnya mampu menambah baik kecergasan dan disiplin memandangkan Korea Selatan mempunyai kelebihan terhadap kedua-dua elemen berkenaan.

"Korea lebih kepada disiplin dan kecergasan, dan di Korea juga kita perlu ada corak permainan satu lawan satu, sedangkan kita sangat lemah dari segi itu. Jadi, ini akan menjadi ujian yang sangat baik untuk pemain kita. Bagi Piala Negara-Negara, kita sudah mempunyai cukup kejohanan, sasaran kita adalah untuk jangka panjang," katanya.

April lepas, Speedy Tigers turut bertandang ke Australia dan mengharungi enam aksi persahabatan dalam siri Jelajah Australia.

Speedy Tigers bakal mengharungi beberapa kejohanan pada tahun ini termasuk Piala Asia yang menawarkan slot automatik ke Piala Dunia buat pasukan yang muncul juara.

Kejohanan itu dijadualkan berlangsung di India bermula 27 Ogos hingga 7 Sept ini.

Selain itu, Speedy Tigers akan menyertai Piala Sultan Azlan Shah dari 22 hingga 29 Nov serta Sukan SEA Thailand bermula 9 hingga 20 Dis.

-- BERNAMA



#Speedy Tigers #hoki #Korea Selatan #Jelajah Korea