[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
SPORTS

SRG pertahan kejuaraan MPL musim ke-14

Bernama 03/11/2024 | 22:45 MYT
Selangor Red Giants (SRG) mempertahankan gelaran juara Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) (MPL) Malaysia Musim ke-14 selepas menewaskan Vamos 4-2 di Kompleks Sukan EduCity, di Iskandar Puteri, pada Ahad.
ISKANDAR PUTERI: Selangor Red Giants (SRG) mempertahankan gelaran juara Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) (MPL) Malaysia Musim ke-14 selepas menewaskan Vamos 4-2 di Kompleks Sukan EduCity, di sini pada Ahad.
SRG dibarisi Mark Genzon Sojero Rusiana (kramM), Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Hazziq Danish (Stormie), Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (YumS) dan John Vincent Banal (Innocent).
Manakala, Vamos dibarisi Mohamad Zulhisyam Mohd Nor (Xorn), Muhammad Nazhan Mohd Nor (Chibi), Kenneth Sablande Barro (Nets), Aeliff Adam Md Ariff (Smooth) dan Rizky Agustian (Warlord).
Perlawanan pertama menyaksikan anak buah Michael Bocado atau lebih dikenali Coach Arcadia meraih keputusan 1-0 dalam aksi yang menggunakan format terbaik daripada tujuh.
Vamos bangkit untuk mengikat juara Mid Season Cup MLBB 2024 itu pada babak kedua, namun SRG mendominasi perlawanan pada perlawanan ketiga dan keempat dengan keputusan 3-1.
Anak buah Khairul Azman Mohd Sharif atau Pabz, bangkit pada perlawanan kelima yang menyaksikan Chibi meraih tujuh kill sekali gus menyekat SRG untuk menang mudah dengan keputusan 12 kill berbalas dua kill.
SRG mengesahkan kejuaraan selepas menamatkan saingan 17 minit pada perlawanan keenam dengan keputusan 13 kill berbalas lapan kill untuk membawa pulang hadiah AS$25,000 (RM109,450) manakala Vamos naib juara dengan hadiah wang tunai AS$13,000 (RM56,795).
Sementara itu pemain SRG, Stormie dipilih Pemain Paling Bernilai (MVP) pusingan akhir dan membawa pulang AS$1,000 (RM4,369)
Kedua-dua pasukan akan mewakili Malaysia di pentas Kejohanan Dunia MLBB M6 berlangsung di Kuala Lumpur bulan ini. - BERNAMA
#Mobile Legends Bang Bang #Selangor Red Giants #e-sukan #Kejohanan Dunia MLBB M6