KUALA LUMPUR: Selepas gagal meraih kemenangan dalam tiga aksi pertama Liga Super, Sri Pahang FC akhirnya berjaya mengutip tiga mata sulung apabila membenam Penang FC 3-1 di laman sendiri, Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Seawal permainan bermula, Penang FC dilihat lebih agresif menyerang berbanding pasukan tuan rumah yang beraksi secara bertahan dan sesekali melakukan serangan balas sebelum berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-28 menerusi rembatan kencang Muhamad Nor Azam Abdul Azih dari luar kotak penalti.

Penang FC bangkit mengikat keputusan 1-1 selepas Sukri Abd Hamid meledak jaringan pada minit ke-46 yang gagal diselamatkan penjaga gol skuad Tok Gajah Mamadou Samassa, namun kedudukan itu tidak bertahan lama.

Sri Pahang FC kembali mendahului permainan pada minit ke-64 hasil jaringan David Rowley yang menanduk masuk hantaran Baqiuddin Shamsudin sebelum Sean Gianelli menambah derita Penang FC menerusi gol ketiga dihasilkannya pada minit ke-73.

Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang FC kini mengumpul empat mata di kedudukan kesembilan liga selepas mencatat dua kekalahan dan satu keputusan seri pada aksi terdahulu.

Pada masa sama, tiga mata pertama turut berjaya diraih Sarawak United FC yang cemerlang menundukkan pasukan tuan rumah, Petaling Jaya (PJ) City FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sekali gus menamatkan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan.

Penyerang Francis Kone menjadi wira pasukan apabila meledak dua gol masing-masing menerusi tandukan pada minit ke-46 dan sepakan penalti pada minit ke-85.

Pada aksi tersebut, skuad bimbingan jurulatih berpengalaman luas, B Sathianathan itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil tandukan Boris Kok pada minit ke-21 sebelum Kone menggandakan kedudukan, namun PJ City berjaya mengurangkan defisit gol hasil rembatan M Kogileswaran Raj pada minit ke-75.

Sarawak United kini mengumpul empat mata di kedudukan kedua tercorot sementara PJ City di tangga keenam dengan tujuh mata.

Sementara itu, dalam saingan Liga Premier menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) II merampas kedudukan pendahulu takhta daripada pencabar terdekat, Kelantan FC, dengan kemenangan selesa 3-1 ke atas Perak FC di Stadium Perak, Ipoh.

Tiga gol JDT II masing-masing dijaringkan Fernando Rodriguez pada minit ke-24 dan minit ke-36 (sepakan penalti) diikuti gol Adam Farhan Faizal pada minit ke-52 manakala pasukan tuan rumah memperoleh gol sagu hati menerusi sepakan penalti Hakimi Mat Isa pada minit ke-38.

Di Stadium Negeri, Kuching, Kuching City FC membelasah Skuad Projek FAM-MSN 4-0 sementara satu lagi aksi Liga Premier menyaksikan Kelantan United mengatasi UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.

-- BERNAMA