Stadium Sultan Ibrahim kebanggaan terbaharu rakyat Johor

Madiha Abdullah
Februari 22, 2020 05:57 MYT
Dibina dengan kos RM200 juta di Iskandar Puteri, stadium ini akan menjadi home buat Harimau Selatan. - Facebook/JDT
HARI ini, 22 Februari 2020, merupakan hari yang dinantikan peminat bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) apabila stadium kebanggaan mereka dilancarkan secara rasmi.
Dicanang sebagai stadium dengan kemudahan bertaraf dunia, tidak hairanlah ramai yang tidak sabar melihat sendiri hasilnya.
Dinamakan Stadium Sultan Ibrahim, upacara pecah tanah dilakukan pada Januari 2016, namun pembinaannya ditangguhkan beberapa bulan susulan pelarasan yang dibuat oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkenaan lokasi stadium, aspek teknikal dan reka bentuk.
Dibina dengan kos RM200 juta di Iskandar Puteri, stadium ini akan menjadi home buat Harimau Selatan, menggantikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Stadium berkenaan akan digunakan oleh pasukan JDT II yang beraksi dalam Liga Premier.
Selain memuatkan kapasiti penonton seramai 40,000, stadium yang dibina di atas tanah berkeluasan 28.3 hektar ini juga sebahagian dari Bandar Sukan JDT yang menempatkan hotel, pangsapuri, pusat membeli-belah, padang ragbi, gelanggang tenis dan beberapa fasiliti sukan moden.
Warna rasmi pasukan iaitu merah, biru dan putih dijangka akan menghiasi keseluruhan lokasi stadium dan akan dipancarkan menerusi lampu-lampu LED yang dipasang di luar dan dalam stadium.
Acara perasmian gilang-gemilang akan dilangsungkan malam ini, dengan penghibur antarabangsa, Leona Lewis akan membuat persembahan.
Stadium Sultan Ibrahim akan mula digunakan dalam aksi pembuka tirai perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT menentang juara Piala FA, Kedah pada 28 Februari ini.
#bola sepak #JDT #Johor Darul Takzim #Stadium Sultan Ibrahim #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #upacara pecah tanah