Stephanie Ensol cemerlang di Kejohanan Angkat Berat Asia 2019 Kazakhstan

Nickyson Nyambar
Disember 7, 2019 10:14 MYT
Atlet berasal dari Sarawak itu mengungguli emas dalam acara Deadlift dan Keseluruhan, manakala pingat perak untuk acara Squat dan Bench Press. - Instagram @pocket_rocketgirl
SEBELUM Mohd Azizulhasni Awang membawa khabar gembira dengan meraih emas acara keirin Siri Dunia UCI di New Zealand pada petang Sabtu, seorang lagi anak Malaysia berasal dari Sarawak, Stephanie Ensol, telahpun mengharumkan nama negara di Kazakhstan.
Dalam acara yang berlangsung dari 2 Disember sehingga 5 Disember lalu, atlet angkat berat wanita itu berjaya meraih dua pingat emas dan dua pingat perak dalam Kejohanan Angkat Berat Asia 2019 di Almaty.
Stephanie mengungguli emas dalam acara Deadlift dan keseluruhan, manakala pingat perak diperoleh melalui acara Squat dan Bench Press.
“Ada tiga disiplin, dinilai berdasarkan berat badan. Saya di bawah 47 kilogram,” jelasnya.
Menurut Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, pencapaian ini sangat bermakna dan membanggakan. Pada kejohanan itu lebih 500 peserta dari 22 buah negara terlibat.
Dalam pada itu, Stephanie juga dijanjikan ganjaran atas pencapaiannya itu.
“Sudah tentu dengan memenangi dua emas dan dua perak, ada sesuatu menunggu beliau. Akan ada insentif untuk beliau tetapi tunggu untuk jawatankuasa memutuskan dan kemudian menghubunginya,” kata Snowdan.
Dalam pada itu, impian Stephanie untuk mengharumkan nama negara tidak berhenti di situ sahaja. Selepas ini, beliau akan mengalihkan fokusnya pula untuk South East Asian Cup di Bangkok pada April tahun hadapan diikuti The World Championship pada Jun dan Asian Championship pada Disember 2020.
#Angkat Berat Wanita #Astro Awani #Atlet Kebangsaan #AWANI Sarawak #Kazakhtan #Kejohanan Angkat Berat Asia 2019 #Malaysia