SUKAN

STL 2025 tampil format baharu, lebih mencabar.. Beri debaran kepada peminat

Asyraf Malik 20/05/2025 | 14:32 MYT
Hannah Yeoh (tengah) merasmikan Sepak Takraw League (STL) 2025 di Kuala Lumpur pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Penganjuran Sepak Takraw League 2025 edisi ke-11 membekalkan negara dengan pelapis supaya tidak ketandusan bakat dalam arena sukan takraw.

Inisiatif ini dapat membantu meneruskan kecemerlangan skuad kebangsaan yang meraih dua pingat emas dan dua pingat perak di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, STL merupakan sebuah liga berprestij yang wajar diberi
pujian, khususnya kepada Astro dan kerjasama erat Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).


"Menerusi pelan pembangunan yang strategik dan berkesan, kita berjaya membentuk generasi pemain yang berkaliber tinggi serta melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia.

"Pencapaian membanggakan skuad negara di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 baru-baru ini adalah bukti nyata keberkesanan program pembangunan akar umbi dan platform seperti STL.

"STL telah berkembang daripada sebuah sukan rakyat kepada sebuah liga profesional," ujar beliau dalam ucapan perasmian Sepak Takraw League (STL) 2025 di sini pada Selasa.

Format pertandingan Grand Prix tampil dengan sistem kelayakan baharu yang membahagikan pasukan kepada Kelas Satu dan Kelas Dua selepas peringkat kumpulan.

Hanya Kelas Satu layak merebut kejuaraan, manakala Kelas Dua bersaing untuk tempat kelima hingga kelapan, format ini dijangka meningkatkan intensiti perlawanan dan memberikan aksi mendebarkan kepada peminat.

CelcomDigi STL 2025 akan membuka tirai dengan STL Divisyen 1 di Stadium SUKPA, Pahang dan berakhir di SPICE Arena, Pulau Pinang.

GP lain turut membabitkan venue baharu iaitu Arena 9, Nilai, Negeri Sembilan serta venue lain di Iskandar Malaysia Studios, Johor; Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur; dan Stadium Indera Mulia, Ipoh.







#Sepak Takraw League #Hannah Yeoh #Menteri Belia dan Sukan #Astro