Pengurus pasukan negara Datuk Seri Subahan Kamal mempertahan Datuk K. Rajagobal untuk kekal sebagai jurulatih Harimau Malaya pada saingan Piala AFF Suzuki 2012.

Beliau berkata pada masa ini tidak timbul soal meminta pengendali berusia 56 tahun itu meletak jawatan berikutan prestasi hambar skuad Harimau Malaya ketika menentang Singapura dua hari lepas.

"Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya ketika ini untuk meminta Rajagobal meletak jawatan atau menggugurkan mana-mana pemain kerana saya percaya kita mampu menepati sasaran mara ke separuh akhir.

"Saya yakin skuad Harimau Malaya mampu mencatat kemenangan pada perlawanan seterusnya," katanya
.
Para penyokong Harimau Malaya mula mempersoalkan kewibawaan Rajagobal apabila Malaysia diaibkan Singapura 0-3 pada perlawanan pembukaan kumpulan B Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lepas.

Mereka dilihat merasa muak dengan pelbagai alasan yang diberikan Rajagobal setiap kali skuad negara tewas termasuk dalam siri perlawanan persahabatan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Subahan meminta penyokong setia Harimau Malaya agar tidak cepat putus asa dan berharap mereka akan terus memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan dalam mengharungi saingan piala berkenaan.

Sebagai penyokong sejati Harimau Malaya, beliau berkata sokongan mereka adalah ditagih bukan sahaja ketika skuad kebangsaan melakar kejayaan tetapi semasa mengalami kekalahan.

"Adalah tidak adil jika skuad Harimau Malaya terus dihukum kerana kekalahan pada perlawanan pertama kepada Singapura kerana kita masih mempunyai peluang untuk bangkit semula," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta peminat bola sepak tempatan agar terus memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya apabila berdepan Laos malam esok dan Indonesia pada 1 Dis.