Sukan Asia 2018: Terjunan Mun Yee, Nur Dhabitah butirkan pingat gangsa

Astro Arena
Ogos 28, 2018 14:40 MYT
Atlet Terjun Negara Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri menduduki tempat ketiga dengan mengumpul mata sebanyak 310.80 dalam acara 10 meter Synchro Platform Wanita Akhir pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 hari ini. - Foto Bernama
Gandingan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee, meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter serirama Sukan Asia 2018 di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, sebentar tadi.
Malaysia terpaksa meneruskan saingan tanpa prospek pingat emas dalam sukan terjun, Pandelela Rinong, yang menarik diri daripada Sukan Asia Jakarta-Palembang selepas mengalami kecederaan saraf kaki yang serius.
Ia merupakan tamparan kedua selepas juara dunia, Cheong Jun Hoong, terpaksa menarik diri sebelum saingan bermula ekoran kecederaan lutut.
Gandingan Mun Yee-Dhabitah tetap memberikan persembahan yang berkualiti dalam saingan kali ini.
Mereka mengumpul 310.80 mata selepas lima terjunan bagi memastikan pingat gangsa milik Malaysia.
Gandingan China, Zhang Jiaqi-Zhang Minjie, meraih pingat emas selepas mempamerkan persembahan berkualiti meraih 361.38 mata manakala wakil Korea Utara, Kim Kuk Hyang-Kim Mi Rae, di tempat kedua (337.86 mata).
#Jakarta #Leong Mun Yee #Malaysia #Nur Dhabitah Sabri #Palembang #penerjun negara #Pusat Akuatik #Sukan Asia