Sukan Asia Hangzhou: Hannah Yeoh ucap tahniah kontinjen negara lepasi sasaran pingat

Astro Arena
Oktober 5, 2023 23:30 MYT
Hannah Yeoh dan Ketua Kontinjen negara Datuk Chong Kim Fatt bergambar bersama pemain-pemain skuasy negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, 5 Okt 2023. --fotoBERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara atas kejayaan melepasi sasaran 27 pingat dalam Sukan Asia Hangzhou.
Skuad skuasy negara semalam meraih dua emas dan satu perak, sambil satu lagi perak daripada sukan karate dan satu gangsa daripada skuad memanah compound, memastikan kontinjen negara menghimpunkan 28 pingat setakat ini, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan sebelum temasya edisi ke-19 berkenaan.
"Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kontinjen Malaysia yang telah berjaya mengumpulkan 28 pingat hari ini," katanya ketika ditemui Astro Arena di Hangzhou semalam.
"Dan tahniah juga kepada pemenang pingat emas, kita menambah dua lagi pingat emas hari ini.
"Ini adalah usaha kuat kesemua atlet kita dan persatuan sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN).
"Saya berharap apabila kita balik nanti, kita akan mengkaji semua keputusan dan melihat bagaimana untuk memperkasakan lagi pemenang-pemenang pingat ini supaya mereka terus cemerlang.
"Syabas kepada semua dan terima kasih kepada pihak media kerana telah memberikan liputan yang amat baik buat atlet kita," katanya.
#Hannah Yeoh #Sukan Asia Hangzhou 2022 #kontinjen malaysia #sasaran pingat