KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menunggu keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebelum membuat pendirian rasmi berhubung langkah Majlis Olimpik Asia (OCA) membenarkan atlet Rusia dan Belarus bertanding pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang menghadiri Perhimpunan Agung OCA di Bangkok, Sabtu lepas, berkata barisan kepimpinan baharu OCA bagi tempoh 2023 hingga 2027 dijangka mengadakan mesyuarat bagi membincangkan secara terperinci berhubung keputusan itu dalam masa terdekat.

"OCA cuma sediakan platform atlet Rusia dan Belarus beraksi di Sukan Asia 2022 namun segalanya perlu tunggu lampu hijau daripada IOC," katanya kepada Bernama.

Sabtu lepas, OCA membenarkan atlet Rusia dan Belarus untuk bersaing pada Sukan Asia 2022 pada 23 Sept hingga 8 Okt ini, bagi membantu mereka memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Bagaimanapun, OCA menetapkan bahawa kedua-dua atlet negara berkenaan yang akan bertanding di bawah bendera neutral tidak layak dianugerahkan pingat kemenangan pada temasya empat tahun sekali itu.

Dalam pada itu, Mohd Nazifuddin secara peribadi berpendapat penyertaan atlet Rusia dan Belarus bukanlah satu isu memandangkan mereka tidak akan 'mencuri' kuota Asia sekiranya layak ke Paris, sebaliknya akan menggunakan kuota Eropah.

Pada Februari 2022, IOC mengesyorkan persekutuan sukan antarabangsa melarang atlet Rusia dan Belarus daripada menyertai pertandingan selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine.

IOC pada Mac lepas mencadangkan persekutuan antarabangsa membenarkan atlet Rusia dan Belarus bertanding di bawah status neutral bagi acara individu sahaja dengan syarat mereka bukan penyokong operasi khas ketenteraan atau bergabung dengan angkatan tentera atau agensi keselamatan negara.

-- BERNAMA