SUKAN ASIA: Skuad berbasikal trek sekadar tamat saingan di tempat kelima

Astro Arena
September 21, 2014 02:11 MYT
Skuad wanita yang dibarisi Ju Pha Som Net dan Fatehah Mustapa sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima
Harapan untuk menyaksikan skuad berbasikal trek negara mencipta kejutan di Sukan Asia Incheon pada Sabtu tidak kesampaian apabila pasukan lelaki dan wanita negara sekadar menamatkan saingan di tempat kelima.
Aksi pada Sabtu melibatkan skuad berbasikal lelaki dan wanita negara dalam acara pecut berpasukan.
Tidak diletakkan sandaran untuk meraih pingat, skuad wanita yang dibarisi Fatehah Mustapa dan Ju Pha Som Net sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima keseluruhan selepas mencatat masa 46. 988 saat.
Ia persembahan yang sudah diduga dan bagi Fatehah, beliau mengganggap aksi pada Sabtu sebagai pendedahan terbaik menjelang acara pecut dan keirin yang akan berlangsung pada Ahad.
Sementara itu, persembahan mantap Azizul Hasni Awang tidak berupaya membantu Malaysia merebut pingat dalam acara pecut berpasukan lelaki.
Gandingannya, Josiah Ng dan Muhammad Edrus Md Yunos gagal memberi saingan sekaligus menamatkan masa keseluruhan 1 minit 2. 077 saat di tempat kelima.
Azizul menjadi harapan negara meraih dua pingat emas menerusi acara kegemarannya, keirin dan pecut.
#Azizul Hasni Awang #Fatehah Mustapha #Ju Pha Som Net #skuad berbasikal trek negara #Sukan Asia Incheon