ISKANDAR PUTERI: Sukan Bangsa Johor bakal diadakan di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Ogos ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata empat acara sukan akan dianjurkan iaitu sepak takraw, futsal, bola keranjang dan pertunjukan sukan kavadi.

Beliau berkata penganjuran Sukan Bangsa Johor bertujuan untuk merakyatkan sukan dan mempromosi gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat terutama golongan belia.

"Johan penganjuran bagi setiap sukan di peringkat DUN akan bertanding di peringkat negeri bagi mewakili DUN masing- masing.

"Kejohanan di peringkat negeri akan diadakan selama dua hari dan dalam masa yang sama karnival juga akan diadakan bagi memeriahkan lagi kejohanan tersebut," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Penyelarasan Southern Volunteers Prihatin@ Johor Future 2023, di sini, semalam.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan melaksanakan Program Skuad Muda Southern Volunteers (SV) di peringkat sekolah dengan penglibatan 56 sekolah rintis di setiap DUN, bagi menggalakkan pelajar menjadi pelapis dalam bidang kesukarelawanan.

"Saya percaya dengan penglibatan serta kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan melancarkan lagi hasrat kerajaan untuk memperluas fungsi dan peranan SV hingga ke peringkat akar umbi," katanya.

Mohd Hairi berkata kerajaan negeri juga akan melaksanakan program SV Prihatin @ Johor Future 2023 bagi membaik pulih sebanyak 280 rumah golongan asnaf, warga emas, miskin dan ibu tunggal di 56 kawasan DUN.

"Pemilihan rumah ini adalah di bawah cadangan penyelaras DUN atau pejabat daerah serta SV daerah," katanya.

Beliau berkata antara pengisian program yang melibatkan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) belia, SV, komuniti serta pemimpin masyarakat setempat itu adalah dekorasi dan pembersihan kawasan rumah serta baik pulih kerosakan kecil.

-- BERNAMA