SUKAN

Sukan dan pendidikan tidak boleh dipisahkan - Marina

Bernama 02/11/2025 | 21:00 MYT
Marina menunjukkan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan yang diterima pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-17 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kuala Nerus, 2 Nov 2025. --fotoBERNAMA
KUALA TERENGGANU: Sukan dan pendidikan tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya bergerak seiring dalam membentuk keperibadian serta pembangunan insan, kata legenda sukan olahraga negara Datuk Marina Chin.


Ringkasan AI
  • Datuk Marina Chin menegaskan sukan dan pendidikan saling melengkapi dalam membentuk keperibadian dan pembangunan insan, bukan sekadar melahirkan atlet berprestasi tinggi.
  • Beliau berkata ramai bekas atlet kini kembali menyumbang sebagai jurulatih, pendidik dan pentadbir sukan, sekali gus memperkukuh ekosistem sukan negara.
  • Marina berharap Malaysia terus melahirkan atlet dan jurulatih bertaraf dunia, sambil menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan atas sumbangannya dalam bidang olahraga.


Marina berkata penglibatan dalam bidang sukan bukan sekadar melahirkan atlet berprestasi tinggi malah membuka ruang terhadap pembelajaran berterusan yang membantu membina kerjaya selepas bersara termasuk sebagai jurulatih dan tenaga penggerak pembangunan sukan negara.

"Walaupun bermula sebagai atlet, saya terus maju menjadi jurulatih serta terbabit dalam pembangunan sukan dan sebagainya. Saya banyak belajar sepanjang terlibat dalam pelbagai program dan proses pembelajaran ini tidak pernah berhenti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA di sini semalam.

Mengulas lanjut, Marina berkata proses pembelajaran dan pembangunan atlet negara kini dilihat semakin berkembang dengan lebih ramai bekas atlet kembali menyumbang kepakaran dalam bidang kejurulatihan, pendidikan serta pentadbiran sukan.

Katanya perkongsian pengalaman dan pengetahuan dalam kalangan atlet serta bekas atlet merupakan langkah penting ke arah memperkukuh ekosistem sukan negara.

"Saya rasa apabila kita belajar, kita juga berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta cuba memperbaik situasi sukan di mana kita lihat ada ruang untuk penambahbaikan. Jadi, saya rasa dari segi itu, kami di Malaysia masih dalam proses.

"Ini kerana kini semakin ramai atlet seperti Roslinda Samsu yang selepas menamatkan kerjaya sebagai atlet, menyumbang kembali kepada negara dalam bentuk memberi kuliah mengenai sains sukan, terlibat sebagai jurulatih dan turut menjadi ahli dalam lembaga seperti lembaga Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya.

Menurutnya, penyertaan bekas atlet dalam pelbagai peringkat pengurusan dan pembangunan sukan akan menjadikan proses pembelajaran dan pembangunan atlet sebagai insan lebih menyeluruh serta lebih efektif pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Marina berkata Malaysia kini berada pada tahap membanggakan apabila berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia dalam pelbagai bidang namun masih ada ruang untuk meningkatkan pencapaian dalam sukan lain.

"Harapan saya adalah untuk melihat Malaysia terus maju dan semua sukan mampu melahirkan jaguh dunia. Pada masa sama, kita mahu jurulatih tempatan mencapai tahap kejurulatihan bertaraf antarabangsa," katanya.

Pada majlis itu, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan kepada Marina.

Marina merupakan bekas atlet acara pecut dan lari berpagar yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dengan meraih satu pingat emas dan tiga pingat perak di Kejohanan Olahraga Asia serta enam pingat emas dan lima pingat perak di Sukan SEA.

--BERNAMA







#sukan #pendidikan #marina chin #bekas atlet