Sukan Komanwel 2018: Azizulhasni tarik diri acara pecut

Bernama
April 5, 2018 13:41 MYT
Azizulhasni terpaksa menarik diri daripada acara pecut selepas diserang jangkitan virus kali kedua pada paru-paru. - Gambar fail
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang menarik diri daripada acara pecut pada temasya Sukan Komanwel 2018 berikutan masih bergelut dengan jangkitan virus yang dialaminya semasa Kejuaraan Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda, awal bulan lepas.
Keputusan menarik diri dalam acara pecut itu disahkan oleh jurulatih trek negara, John Beasley.
Bagaimanapun, katanya, pelumba berusia 30 tahun dengan jolokan 'The Pocket Rocketman' boleh melakukan kejutan sekiranya layak ke final acara keirin di sini esok.
Beliau berkata Azizulhasni terpaksa menarik diri daripada acara pecut selepas diserang jangkitan virus kali kedua pada paru-paru.
Dalam acara keirin esok, katanya, beliau berharap bekas juara dunia keirin itu akan mendapat laluan mudah pada peringkat awal dan sekiranya layak ke pusingan final beliau belum tahu kemampuan sebenarnya.
"Saya hanya mahu beliau sembuh semula...oleh itu kami tidak mahu beliau menyertai banyak perlumbaan di sini," kata Beasley kepada pemberita di Velodrom Anna Mearas, di sini pada Khamis.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang #Sukan Komanwel 2018 #virus