Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di sini.
SUKAN

Sukan Olimpik Los Angeles 2028 raih tajaan lebih AS$2 bilion

Agensi 05/12/2025 | 00:10 MYT
Melepasi angka AS$2 bilion tajaan lebih dua setengah tahun sebelum berlangsungnya LA28 adalah bukti kedudukan kukuh dan kemajuan ke arah penganjuran acara yang bertanggungjawab dari segi kewangan, namun tetap epik.
LOS ANGELES: Jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28) mengumumkan telah melepasi kutipan tajaan domestik sebanyak AS$2 bilion, sekali gus meletakkannya di landasan untuk menjadi antara edisi paling berjaya dari segi komersial dalam sejarah Olimpik.

Syarikat perisian kewangan, Intuit pada bulan lalu menjadi rakan pengasas keenam LA28, menyertai Google, Honda, Starbucks, Delta dan Comcast dalam kategori penaja utama.

“Melepasi angka AS$2 bilion tajaan lebih dua setengah tahun sebelum berlangsungnya LA28 adalah bukti kedudukan kukuh kami dan kemajuan ke arah penganjuran acara yang bertanggungjawab dari segi kewangan, namun tetap epik,” kata Pengerusi dan Presiden LA28, Casey Wasserman dalam kenyataan.

“Selain menguruskan penganjuran, kami telah membina organisasi komersial bertaraf dunia yang membawa inovasi dan hasil yang kami usahakan sejak hari pertama,” tambahnya.

Bajet semasa untuk penganjuran LA28 dianggarkan sekitar AS$6.9 bilion, yang dijangka bergantung sepenuhnya kepada dana swasta melalui tajaan, jualan tiket, hospitaliti dan pelesenan, selain sumbangan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

LA28 juga merancang menggunakan kebanyakan venue sedia ada di bandar itu, tanpa membina infrastruktur kekal baharu.

Penganjur berulang kali menegaskan komitmen untuk menganjurkan acara tanpa membebankan pembayar cukai tempatan.

Bandar Los Angeles bersetuju menanggung AS$270 juta pertama bagi kos lebihan, namun pegawai LA28 menjangkakan lebihan bajet.

“Ketika kita menutup tahun 2025, kami menilai semua pencapaian organisasi ini hampir tiga tahun sebelum berlangsungnya LA28,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LA28, Reynold Hoover.

“Daripada pertumbuhan komersial yang mencatat rekod kepada pelancaran program sukarelawan dan tiket komuniti lebih awal daripada biasa, hala tuju kami kekal untuk menganjurkan Sukan Olimpik yang bertanggungjawab dari segi kewangan dengan impak bermakna untuk Los Angeles dan seterusnya,” ujarnya.

“Kami bekerja setiap hari untuk menjadikan Sukan Olimpik lebih mudah diakses oleh jutaan orang yang mahu terlibat secara bermakna.”

Sukan Olimpik Los Angeles akan menandakan kali ketiga bandar itu menjadi tuan rumah selepas edisi 1932 dan 1984 serta kali pertama menganjurkan Paralimpik. - Agensi








#LA28 #Sukan Olimpik Los Angeles #tajaan Sukan Olimpik #tajaan domestik Olimpik