Sukan SEA 2025: Gimnastik, karate dan olahraga pacu pungutan emas malaysia

Muhammad Sharul Aimy (kanan) dan Yeap bergambar dengan pingat emas yang dimenangi masing-masing pada Sukan SEA 2025 di Gimnasium 5, Universiti Thammasat Kampus Rangsit, Bangkok. --fotoBERNAMA
BANGKOK: Tiga cabang sukan -- gimnastik artistik, karate dan olahraga -- menjadi pemangkin kejayaan kontinjen negara pada hari ketiga Sukan SEA 2025 apabila meraih tujuh pingat emas, sekali gus memastikan Malaysia kekal dalam kelompok lima teratas carta keseluruhan.
Ringkasan AI
- Gimnastik artistik, karate, dan olahraga menyumbang tujuh pingat emas untuk Malaysia, mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima teratas carta keseluruhan Sukan SEA 2025.
- Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam dan Yeap Kang Xian menjuarai gimnastik artistik; ratu karate C. Shahmalarani dan K. Thevendran meraih emas dalam acara karate, manakala Nani Sahirah Maryata dan Grace Wong Xiu Mei mencapai kejayaan dalam olahraga lempar dan baling tukul besi.
- Thor Chuan Leong menyumbang pingat ke-10 keseluruhan Malaysia dengan kemenangan dalam snuker, sementara Thailand masih mengekalkan kedudukan teratas dalam carta pingat Sukan SEA.
Hadir dengan status juara bertahan, ratu karate negara C. Shahmalarani mengekalkan status juara dengan meraih emas buat tiga edisi berturut-turut selepas mengungguli saingan acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana.
Penampilan sulung K. Thevendran pula membawa tuah apabila beliau menjuarai kumite lelaki bawah 55kg dengan kemenangan 4-0 ke atas Chu Van Duc dari Vietnam.
Stadium Suphachalasai menjadi saksi kejayaan Nani Sahirah Maryata apabila meraih emas lontar peluru wanita dengan lontaran kedua sejauh 16.36 meter (m), memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri (15.39m).
Jaguh baling tukul besi, Grace Wong Xiu Mei, mempamerkan dominasi luar biasa apabila memecahkan rekod temasya sebanyak empat kali dalam satu final. Lontaran terbaiknya, 65.41m, turut memperbaharui rekod temasya dan kebangsaan.
Pemain snuker berpengalaman negara, Thor Chuan Leong, melengkapkan hari gemilang Malaysia dengan menghadiahkan pingat ketujuh semalam, yang juga merupakan pingat emas ke-10 keseluruhan.
Pemain berusia 37 tahun itu melakar kemenangan lima frame menewaskan peserta tuan rumah, Danjirakul Poramin, yang hanya meraih dua frame dalam aksi yang berlangsung di Thunder Dome Muang Thong Thani.
Setakat pukul 10 malam waktu tempatan (11 malam Malaysia), Thailand kekal menerajui carta pingat dengan mengumpul 66 emas, 43 perak dan 28 gangsa, diikuti Vietnam (24,17,43), Indonesia (20,28,24), manakala Malaysia naik satu anak tangga ke posisi keenam (10,13,33).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


