SUKAN
Sukan SEA 2025: Harimau Muda sasar separuh akhir
Mohd Nafuzi berkata pasukannya tetap berhasrat untuk melangkah ke final namun tumpuan ketika ini adalah untuk melepasi cabaran Vietnam dan Laos dalam saingan Kumpulan B. - Gambar Malaysia NT
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan Mohd Nafuzi Zain meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir pada saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
Mohd Nafuzi berkata pasukannya tetap berhasrat untuk melangkah ke final namun tumpuan ketika ini adalah untuk melepasi cabaran Vietnam dan Laos dalam saingan Kumpulan B.
Bagi memastikan misi tercapai, beliau berharap barisan pemain muda terbaik negara dapat dikumpulkan bagi menggalas cabaran negara di temasya sukan dwitahunan itu.
"Sasaran utama kami adalah untuk mara ke peringkat separuh akhir terlebih dahulu, sebelum berusaha melangkah ke pentas final.
"Perancangan kami adalah untuk memulakan persiapan melalui sesi latihan berpusat pada hujung November dan kami berharap dapat menghimpunkan barisan pemain terbaik bagi mewakili negara di temasya Sukan SEA tahun ini," katanya dalam hantaran Facebook rasmi Malaysia NT hari ini.
Jurulatih berusia 46 tahun itu pada masa sama mengakui cabaran getir menanti pasukannya, terutama apabila perlu berdepan Vietnam yang tampil dengan reputasi tinggi selepas menjuarai Piala ASEAN 2024.
"Namun, ia bukan alasan untuk menghalang kami memberikan komitmen sepenuhnya dalam kejohanan kali ini. Kebanyakan pemain Laos juga merupakan sebahagian daripada skuad yang diturunkan ketika menentang Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini," katanya.
Kumpulan A membariskan tuan rumah Thailand, Kemboja dan Timor-Leste sementara Kumpulan C pula terdiri daripada juara bertahan Indonesia, Myanmar, Filipina dan Singapura.
Juara setiap kumpulan dan naib juara terbaik akan layak ke separuh akhir.
Pada edisi 2023 di Kemboja, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan dan sebelum itu hanya menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi 2021 di Vietnam.
Kali terakhir Malaysia memenangi emas adalah pada Sukan SEA 2011 di Indonesia manakala pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur merupakan penampilan terakhir Malaysia di podium.
-- BERNAMA