SUKAN

Sukan SEA 2025: Keselamatan atlet, pegawai jadi keutamaan MOM

Bernama 27/07/2025 | 08:22 MYT
Mohamad Norza ketika sidang media selepas Piala Perdana Menteri CSI1 bagi pusingan kelayakan untuk mewakili negara pada temasya Sukan SEA 2025 di Kuala Lumpur Polo Club hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan atlet dan pegawai di Sukan SEA 2025, Thailand susulan ketegangan hubungan antara negara itu dengan Kemboja.


Ringkasan AI
  • Keselamatan jadi keutamaan MOM: Majlis Olimpik Malaysia tidak akan berkompromi terhadap keselamatan atlet dan pegawai ke Sukan SEA 2025 di Thailand, susulan konflik sempadan ThailandKemboja.
  • Malaysia ambil peranan diplomatik: Sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim giat membantu menyelesaikan ketegangan sebelum temasya bermula Disember ini.
  • Persiapan atlet tetap diteruskan: Proses pemilihan dan latihan kontinjen Malaysia berjalan seperti biasa, dengan MOM optimis isu keselamatan akan diselesaikan segera.


Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata meskipun situasi itu mencetuskan kebimbangan, pihaknya masih optimis bahawa jalan penyelesaian konflik berkenaan dapat dicapai sebelum temasya dwitahunan itu berlangsung Disember ini.

"Setakat ini belum ada keputusan daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan apa yang kita perlukan ialah untuk bertenang kerana kita pun tahu bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha membantu menyelesaikan krisis ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas hadir menyaksikan Piala Perdana Menteri CSI1 di sini yang juga kejohanan kelayakan atlet ekuestrian untuk ke Sukan SEA 2025.

Mohamad Norza berkata persiapan kontinjen membabitkan kesemua jenis sukan juga berjalan seperti biasa dengan proses pemilihan atlet kini giat dijalankan menjelang temasya itu.

"Saya telah berhubung dengan mereka (persatuan sukan) dan harap bahawa perkara ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin supaya semua dapat terus menumpukan persediaan ke Sukan SEA," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada Khamis lepas di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari mengenai pihak yang dianggap sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.

-- BERNAMA



#Majlis Olimpik Malaysia #MOM #Sukan SEA #konflik Thailand-Kemboja #Mohamad Norza Zakaria